SDC Laksana Kajian Strategik Sokong Pembangunan Seimbang Sabah
Wartawan : Nazri Ramshah Abdul Basah
Foto : Vicky Sylvester Matanjang
KOTA KINABALU: Menerusi kerangka Agenda Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), beberapa kajian strategik disiapkan bagi menyokong perancangan pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan bersasar.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kesemua dapatan kajian menyediakan asas perancangan yang lebih kukuh untuk memacu pertumbuhan ekonomi wilayah secara inklusif dan mampan.
"Antaranya, Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Pelan Perniagaan bagi POIC Sandakan; Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan bagi Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depoh Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu; Kajian Pembangunan Ekonomi Sempadan Sabah; dan Kajian Pelan Induk bagi Lembah Makanan di kawasan pedalaman Sabah.
"Dalam landskap pembangunan negeri yang semakin kompetitif, pelaburan strategik merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Keutamaan kita adalah kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan bernilai tambah, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, serta memberi limpahan manfaat yang jelas kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sungkai Kurung-Kurung Ketua Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Menurut Hajiji, pelaksanaan projek infrastruktur berorientasikan people-centric terus diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara inklusif dan seimbang.
"Inisiatif ini dilaksanakan dalam tempoh 2020 hingga 2025 dan merangkumi projek-projek kecil berimpak tinggi di tiga wilayah pembangunan utama, iaitu Wilayah Barat, Wilayah Tengah dan Wilayah Timur Sabah, melibatkan keseluruhan 32 daerah dan daerah kecil.
"Secara kumulatif, sebanyak 1,126 projek kecil berjaya dilaksanakan sebagai intervensi bersasar bagi meningkatkan keterangkuman sosio-ekonomi, memperbaiki akses kepada kemudahan asas, serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan komuniti setempat, terutamanya di luar bandar," ujarnya.
Keupayaan SEDIA turut diperkukuh melalui tadbir urus kewangan yang berintegriti, sebagaimana dibuktikan dengan penganugerahan Sijil Bersih Tanpa Teguran bagi penyata kewangan selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2024
Dalam majlis yang sama, Ketua Menteri telah menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan kepada 16 pusat tahfiz dan pengajian Islam yang berdaftar.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Joachim Gunsalam; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untung; Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengerusi SEDIA Datuk Seri Panglima Hashim Paijan./Penerangan-




Comments
Post a Comment