SICC Tawar 850 Hidangan, Perkukuh Potensi Pelancongan Gastronomi Sabah

Wartawan    : Deonalissa Jekee Edin
Jurufoto        : 
Merusin Maruddin


KOTA KINABALU : Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menampilkan 850 hidangan bufet merangkumi menu Nusantara, sajian sunnah, makanan kampung dan pilihan Barat serta Cina.


Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki berkata kepelbagaian dalam penganjuran bufet istimewa tahun ini sekali gus memperkukuh potensi pelancongan gastronomi negeri.

"Konsep tahun ini memberi penekanan kepada kepelbagaian etnik Sabah melalui variasi makanan tradisi yang mencerminkan warisan budaya tempatan.


“Kita mahu menampilkan kepelbagaian etnik Sabah melalui makanan. Ini bukan sekadar bufet, tetapi usaha mempromosi dan memperkukuhkan pelancongan makanan serta menggerakkan rantaian ekonomi tempatan.

"Pengalaman kali ini juga akan kita ambil untuk lebih bersedia bagi Tahun Melawat Sabah 2027, tahun depan,” katanya ketika ditemui media selepas Resipi Nusantara Asian Buffet Ramadan Media Preview, pada Khamis.


Rosmawati ketika ditemui media.

 Muhammad ketika ditemui media.

KENANGAN...Rosmawati bergambar kenangan bersama pelajar tahfiz.

 Rosmawati (kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar tahfiz.

 Rosmawati (kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar tahfiz.

Reruai hidangan makanan Nusantara.

 Antara penyediaan makanan secara live sempena bufet Ramadan SICC.



Beliau berkata penganjuran kali ini turut memperkenalkan konsep farm-to-table dengan bahan mentah diperoleh terus daripada pembekal tempatan bagi memastikan kesegaran serta menyokong usahawan luar bandar.

“Apabila orang datang makan di sini, bukan sahaja SICC mendapat manfaat, tetapi petani dan juga pembekal tempatan.

"Kita perlukan bekalan dalam kuantiti besar antaranya beras, makanan laut, sayur-sayuran dan sebagainya jadi secara langsung dan tidak langsung mereka juga mendapat limpahan ekonomi," tambahnya.

Dalam pada itu, Rosmawati menjelaskan lebihan makanan diurus secara sistematik bagi memastikan tiada pembaziran.

“Pengurusan sisa yang baik ini membolehkan kita menerima pengiktirafan Asia Book of Records kerana mengekalkan kadar pembaziran yang minimum,” katanya.

Sementara itu, Cef Masakan Melayu, Muhammad Hussin berkata, penyediaan 850 menu berkenaan memerlukan perancangan rapi selama kira-kira empat bulan dengan pasukan dapur memulakan persiapan seawal jam 2 pagi setiap hari.

“Untuk menu Melayu sahaja, kita ada tujuh chef yang memasak. Secara keseluruhan lebih 40 chef terlibat termasuk bahagian makanan Barat dan Cina.

"Ia memang satu cabaran, tetapi kita lakukan dengan penuh komitmen,” ujarnya.

Dalam majlis berkenaan, Rosmawati turut menyampaikan sumbangan kepada 88 pelajar tahfiz daripada Akademi Tahfiz An Nuur, Pusat Tahfiz Al-Mubarak dan Madrasah Darul Hadis Darsa./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar

PUSPA VOICE 2.0 Tonjol Bakat Seni Suara Wanita Sabah