Beberapa Jalan Utama Ditutup Sempena Istiadat Perbarisan Isnin Depan

Wartawan : Mohd Irfan

Foto : Shahvian Mohd Razali


KOTA KINABALU : Beberapa jalan utama di sekitar ibu negeri akan ditutup untuk memberi laluan kepada Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, pada Isnin depan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, penutupan jalan berkenaan melibatkan Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Bandaran, Jalan Gaya dan Jalan Padang. 


Syed Lot Ketika ditemu bual Radio Sabah fm.


"Lokasi utama Istiadat Perbarisan ini akan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu dan beberapa jalan utama yang terlibat di sekitar kawasan tersebut akan ditutup. 

"Penutupan jalan dan tapisan kenderaan awam akan bermula seawal jam 5.00 pagi pada 30 Mac ini di Jalan Padang, Dewan, Simpang Bukit Bendera dan Bulatan Bunga Raya. 

"Selain itu, penutupan jalan dan lencongan akan dijalankan secara berperingkat bertujuan memastikan kelancaran perbarisan dan keselamatan semua pihak," katanya ketika ditemui media selepas sesi temu bual radio bersama SabahFM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Khamis. 

Menurut beliau, dianggarkan 70 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas demi memastikan aliran trafik pada hari berkenaan berjalan lancar. 

"Kesesakan lalu lintas dijangka berlaku kerana acara ini berlangsung semasa cuti sekolah dan pihak PDRM bersiap sedia untuk memastikan kelancaran trafik," tambahnya. 

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan jalan alternatif, menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan./Penerangan-


Syed Lot (tengah) bergambar kenangan bersama penyampai radio Sabah fm.


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos