Kerajaan Komited Laksana Pembangunan Menyeluruh - Hajiji

Wartawan : Nurfatin Mohamed Yunus

Foto : Azman Jumat/Norazuwan Mohd Yusof/Volintine Jiloh


KOTA KINABALU : Kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata usaha berkenaan merangkumi pengukuhan ekonomi negeri, pembangunan infrastruktur serta peningkatan kemudahan kesihatan, pendidikan dan keselamatan.


Tun Musa (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama kek ulang tahun.


"Ini termasuk penekanan kepada pengukuhan ekonomi negeri, pembangunan infrastruktur serta peningkatan kemudahan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan sebagainya demi kesejahteraan rakyat.

"Dalam menjayakan agenda ini, anggota perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur dan berintegriti bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, malam Isnin.


KETIBAAN...Hajiji (tiga dari kiri) dan isteri, Datin Seri Penglima Juliah Salag (kiri) tiba di DUN.


Menurut Hajiji, pembentukan kerajaan negeri bagi penggal kedua pada November lalu akan terus memacu agenda pembangunan holistik berteraskan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

"Kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberikan keyakinan pendekatan pentadbiran kerajaan berada pada landasan yang tepat.

"Justeru, Pelan Pembangunan SMJ 2.0 merupakan lanjutan yang menuntut perubahan berterusan termasuk dari segi pemikiran, cara bekerja serta penciptaan nilai baharu demi kemajuan dan pembangunan negeri," ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar terus menjunjung profesionalisme, memelihara disiplin dan berpegang teguh kepada integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

"Saya yakin pentadbiran yang berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik mampu meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh daya saing ekonomi negeri," tambahnya lagi.

Dalam majlis berkenaan, Hajiji memimpin Upacara Minum Hormat sebelum upacara memotong kek sempena ulang tahun rasmi TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis tempatan antaranya Marsha Milan, Velvet Aduk dan Fanzi Ruji.

Majlis berkenaan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong; dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab./Penerangan-


Tun Musa dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin (tengah) bergambar bersama dif-dif kenamaan.



Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Kerajaan Negeri Perluas Penyertaan Wanita Dalam Kepimpinan, Dasar