11 Kawasan Setinggan di Kapayan Berisiko Kebakaran
Wartawan : Hamidah Len
Foto : Merusin Minuddin
KOTA KINABALU : Rekod Majlis Perbandaran Penampang (MPP) menunjukkan sebelas penempatan setinggan berisiko tinggi kebakaran dikenal pasti di Kapayan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap berkata penempatan terbabit terletak di kawasan darat, tepi parit dan berbukit.
"Kebanyakan kawasan berkenaan mempunyai kepadatan penduduk tinggi, susun atur rumah yang rapat dan tidak terancang serta menggunakan bahan binaan yang mudah terbakar.
“Selain itu, akses laluan yang sempit dan terhad boleh menjejaskan kelancaran operasi pasukan penyelamat serta bomba sekiranya berlaku kebakaran.
“MPP melaksanakan pemantauan berterusan selain mengeluarkan notis di bawah Undang-Undang Kecil berkaitan bangunan dan keselamatan.
“Penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat termasuk notis amaran, lanjutan serta tindakan perundangan terhadap pemilik tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming mengenai jumlah penempatan setinggan berisiko tinggi kebakaran di kawasan berkenaan.
Tambah Maijol, kerajaan negeri melalui kementerian berkaitan akan terus bekerjasama dengan agensi terlibat untuk langkah pencegahan, kawalan dan tindakan susulan demi keselamatan penduduk./Penerangan-
Comments
Post a Comment