Bengkel Pemetaan Budaya Etnik Perkukuh Penyelidikan Warisan Sabah

Wartawan : Idris Sani Saberun

Foto : Johnny Joklis


KOTA KINABALU : Bengkel Penyelidikan Pemetaan Budaya Etnik Negeri Sabah Tahun 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh penyelidikan serta pendokumentasian warisan budaya negeri secara lebih sistematik dan berfokus.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, program tersebut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan kerja-kerja penyelidikan budaya yang lebih tersusun dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk persatuan etnik dan penyelidik.


RASMI...Cleopatra ketika menyampaikan ucapan.


"Sehingga kini, sebanyak 23 kajian etnik telah dilaksanakan sejak tahun 2024, manakala lapan etnik tambahan akan diteruskan pada tahun ini sebagai kesinambungan usaha mendokumentasikan kepelbagaian budaya negeri," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutupan dan Pelancaran Pemetaan Budaya Etnik Negeri Sabah Tahun 2026 di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datin Dr Cleopatra @ Clare Asing.

Menurut beliau, Sabah yang memiliki 35 etnik dan 217 sub-etnik memerlukan pendekatan dokumentasi yang menyeluruh bagi memastikan setiap warisan budaya direkodkan dengan tepat untuk rujukan generasi akan datang.

Katanya, hasil pelaksanaan projek pemetaan budaya tersebut telah menghasilkan sebanyak 31 inventori budaya etnik yang merangkumi 18 aspek budaya, sekali gus memperkukuh rekod warisan budaya negeri untuk dimanfaatkan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan, penyelidik, pelajar dan pelancong.


CENDERAMATA...Mickey (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Cleopatra (tengah) sejurus majlis perasmian.


"Maklumat inventori ini juga akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan program pemuliharaan dan pemerkasaan budaya, selaras dengan usaha melindungi warisan budaya tidak ketara," katanya.

Penganjuran bengkel tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan warisan budaya Sabah terus dipelihara, didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Bengkel sehari anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) itu menghimpunkan seramai 112 peserta terdiri daripada persatuan etnik, penyelidik serta wakil pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan.

Penganjuran program tersebut turut memberi pendedahan serta memperhalusi teknik penyelidikan dan penulisan budaya agar selaras dengan kriteria yang ditetapkan, selain menyelaras pelaksanaan kerja lapangan secara lebih berkesan.

Turut hadir, Pengurus Besar LKNS Mickey Apison, pegawai kanan kementerian, wakil agensi kerajaan serta persatuan etnik yang terlibat dalam program berkenaan./Penerangan-


KENANGAN...Cleopatra (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama tetamu dan peserta Bengkel Penyelidikan Pemetaan Budaya Etnik Negeri Sabah Tahun.


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos