500 Peserta Meriahkan Sukan Tradisi Pesta Kaamatan 2026
Wartawan: Deonalisa Jekee Edin
Jurufoto: Johnny Joklis/Mohd Sazwan Roslan/Reddny Rasang
PENAMPANG : Kira-kira 500 peserta mengambil bahagian dalam Sukan Tradisi sempena Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2026.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jumlah itu mencerminkan sambutan menggalakkan khususnya dalam kalangan generasi muda terhadap usaha memelihara warisan budaya negeri.
"Dianggarkan kira-kira 500 peserta akan mengambil bahagian dalam 10 acara tradisional yang dipertandingkan sepanjang program sukan tradisi ini.
"Antara acara yang dianjurkan ialah gusti lengan, membujak, menyumpit dan tarik tali yang mendapat penyertaan ramai peserta.
"Ini adalah satu petanda yang baik dan menjadi contoh kepada generasi yang di luar sana supaya walaupun kita berada di mana-mana di dunia ini tetapi janganlah kita melupai asal-usul kita dan adat budaya kita.
"Melalui program ini juga kita dapat mengekalkan warisan budaya di dalam aktiviti-aktiviti sukan yang diwarisi sejak dahulu lagi," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pertandingan Sukan Tradisi sempena Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di SMK Bahang di sini, pada Sabtu.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu itu dianjurkan oleh Lembaga Sukan Negeri Sabah dengan kerjasama Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Petronas dan SMK Bahang.
Menurut Nizam, program berkenaan selari dengan aspirasi KBSK iaitu untuk memperkasakan lagi belia Negeri Sabah agar menghargai, memaklumi dan seterusnya sentiasa menghargai budaya bangsa sendiri.
"Budaya dan tradisi masyarakat Sabah merupakan aset penting yang bukan sahaja membentuk identiti negeri, malah menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
"Penyertaan memberangsangkan yang diterima membuktikan generasi muda masih berminat untuk mengenali serta menghayati adat dan budaya warisan nenek moyang mereka," tambahnya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa depan bagi memastikan tradisi dan nilai budaya terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Seri Dr Anil Sandhu, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Mansur Asun./Penerangan-


Comments
Post a Comment