PMX Dijangka Hadir Sambutan Kaamatan Sabtu Depan
Wartawan : Abdu Azmie Mohd Ibrahim
Jurufoto : Norazuwan Mohd Yussof

Jeffrey (tengah) bergambar kenangan bersama anggota Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah.
KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir bagi merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada 30 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Penyelaras, (MICC) Pesta Kaamatan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, kehadiran beliau membuktikan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Persekutuan terhadap kebudayaan dan keunikan rakyat Sabah.
"Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun 2026 sangat istimewa dan meriah kerana menerima kunjungan tetamu kehormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir bagi merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 pada 30 Mei nanti.
"Manakala pada 31 Mei pula merupakan hari Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang akan dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
"Pelbagai persembahan kebudayaan berskala besar telah kita siapkan untuk menyambut ketibaan tetamu kehormat kita dan juga para pengunjung.
"Tumpuan seluruh rakyat Sabah juga terarah kepada Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Peringkat Negeri Tahun 2026 yang menampilkan seramai 53 peserta bakal berentap merebut kejuaraan Unduk Ngadau pada tahun ini", katanya semasa sesi temu bual di konti Sabah FM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Jeffrey menjelaskan, pihak jawatankuasa amat peka dengan masalah lalu lintas dan parkir pada sambutan itu nanti maka pihaknya menyediakan perkhidmatan bas ulang alik (shuttle bus) secara percuma buat semua pengunjung.
"Bas ini akan beroperasi melibatkan dua laluan utama iaitu dari KDCA ke Imago dan Suria Sabah ke KDCA.
"Saya amat menggalakkan pengunjung untuk meletakkan kenderaan di kawasan bandar dan menggunakan perkhidmatan bas ini kerana ia jauh lebih mudah, selesa dan sangat membantu mengurangkan kesesakan teruk di KDCA", katanya.
Beliau juga berpesan buat semua yang hadir agar menjaga tingkah laku dan menghargai budaya kerana Pesta Kaamatan adalah perayaan kebudayaan yang suci dan penuh dengan nilai moral.
"Kita boleh bergembira, bersosial dan menikmati juadah tradisional, tetapi sentiasalah berpada-pada terutamanya dalam pengambilan minuman keras dan jangan jadikan keseronokan yang berlebihan sebagai punca pudarnya nilai murni kebudayaan kita di mata generasi muda dan tetamu luar", ujarnya.
Beliau berharap, agar sambutan pada tahun ini berjalan lancar, selamat dan menjadi memori indah untuk semua dan menyeru orang ramai agar menjadikan tema 'Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian' sebagai amalan sebenar dalam kehidupan seharian di negeri ini.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Sambutan Pesta Kaamatan pada 30 dan 31 Mei ini di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA) Penampang./Penerangan-
.jpeg)
Comments
Post a Comment