Kerajaan Negeri Sedia Rebat RM1,000 Untuk Program Solar Rakyat Sabah

 Wartawan : Deonalisa Jekee Edin

Jurufoto: Azman Jumat


KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri melalui dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik Sabah (AAIBES) akan menyediakan skim rebat sebanyak RM1,000 setiap 1kW untuk Program Solar Rakyat Sabah. 

Ketua Pegawai Eksekutif Energy Commission of Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, skim rebat itu mampu mengurangkan kos pemasangan sistem solar sekitar 25 hingga 30 peratus sekali gus memperluaskan akses kepada lebih ramai rakyat Sabah. 

"Program Solar Rakyat Sabah memberi peluang kepada pengguna domestik memasang sistem solar fotovolta di kediaman masing-masing melalui mekanisme Net Energy Metering. 


Abdul Nasser (dua dari kanan) dan Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub (empat dari kiri) ketika upacara pertukaran dokumen MOU Penyediaan Program Keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Industri Tenaga. 


"Tenaga yang dijana akan digunakan terlebih dahulu untuk keperluan sendiri, manakala lebihan tenaga boleh disalurkan ke grid dan dikreditkan kepada bil elektrik pengguna.

"Kerajaan Negeri melalui dana AAIBES akan menyediakan skim rebat sebanyak RM1,000 bagi setiap 1kW dengan had maksimum 4kW untuk pengguna fasa tunggal yang menyertai Program Solar Rakyat Sabah," katanya ketika berucap semasa Majlis Peluncuran Tenaga Lestari Rakyat Sabah yang diadakan di sini, pada Khamis. 

Pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.  

Abdul Nasser memaklumkan Program itu turut menyediakan opsyen kemudahan pembiayaan kewangan penuh yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berdaftar di bawah ECoS yang dikenali sebagai Sabah Registered PV Investors. 

Tun Musa (depan, tengah) bergambar kenangan bersama tetamu jemputan dan pengurusan tertinggi ECoS. 


"Melalui opsyen ini, syarikat yang berkenaan akan menanggung sepenuhnya kos pemasangan sistem solar tersebut. 

"Ini bermakna para pengguna tidak perlu mengeluarkan kos awalan capex untuk memulakan pemasangan sistem solar fotovolta dan sistem simpanan tenaga bateri (BESS) mereka, di mana pembayaran akan kemudiannya dibuat oleh pengguna kepada mereka berdasarkan konsep sewaan untuk menikmati penjimatan bil elektrik," ujarnya. 

Katanya, Program Solar Rakyat Sabah merupakan antara inisiatif penting di bawah Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) bagi memperkukuh agenda tenaga lestari negeri. 

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu, malah menggalakkan penyertaan rakyat dalam usaha peralihan tenaga di Sabah. 

GIMIK...Tun Musa (tengah), Joachim (tiga dari kiri), Abdul Nasser (dua dari kanan) serta tetamu jemputan yang lain menyempurnakan gimik pelancaran. 

Hadir sama, wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap dan Pengerusi ECoS, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM