Keluarga Sejahtera Asas Perkhidmatan Awam Cemerlang – Zainudin
Wartawan : Nurfatin Mohammed Yunus
Jurufoto : Norazuwan Mohd Yussof
KOTA KINABALU : Keluarga yang sejahtera merupakan asas kepada perkhidmatan awam yang cemerlang.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata, keharmonian yang bermula di rumah dapat membantu meningkatkan dedikasi dan mutu penyampaian tugas perkhidmatan awam.
"Apabila keharmonian bermula di rumah, dedikasi dan mutu penyampaian tugas perkhidmatan awam secara automatiknya dapat ditingkatkan demi kemakmuran rakyat dan negeri Sabah.
"Penganjuran program hari keluarga seperti ini bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya merupakan manifestasi sokongan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) terhadap agenda dan hala tuju Kerajaan Negeri.
"Khususnya berkaitan pembangunan modal insan, Malaysia Madani serta keseimbangan kerja dan gaya hidup sihat,” katanya ketika merasmikan Program Hari Keluarga Ceria Ria anjuran PUSPANITA Cawangan Sabah yang berlangsung di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Zainudin berkata pembangunan wanita di Sabah menunjukkan perkembangan positif yang dapat dilihat melalui pelbagai dasar, program keusahawanan serta sokongan sosial yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.
Menurutnya, antara perkara yang diberikan sokongan ialah peningkatan ekonomi keluarga bandar dan luar bandar serta memperkasakan wanita melalui pelbagai program keusahawanan bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengurangkan jurang kemiskinan negeri, terutamanya golongan B40.
"Seterusnya, Kerajaan Negeri juga membantu pembangunan wanita melalui pengurangan jurang jantina dalam kepimpinan.
"Kalau kita melihat statistik yang terkini, jumlah wanita yang memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri sentiasa meningkat dan telah pun melebihi 30 peratus," ujarnya.
Zainudin (tiga dari kanan) menyerahkan hadiah utama kepada pemenang cabutan bertuah di majlis tersebut
Beliau berharap seluruh warga PUSPANITA terus bersatu padu, mengukuhkan silaturahim dan menjadi pemangkin kepada keharmonian komuniti, selain memperkasa potensi diri, meningkatkan integriti dan profesionalisme serta semangat kerja berpasukan.
Program yang dihadiri hampir 600 peserta itu turut menyantuni anak-anak yatim Home Tuaran dan Jireh Home.
Hadir sama, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah dan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu, Datin Seri Adreen Aderizza Mohamad Sofi./Penerangan-
Comments
Post a Comment