Tanggungjawab Terhadap Mualaf Tidak Terhenti Selepas Syahadah – Hajiji

Wartawan : Nazri Ramshah Abdul Basah
Jurufoto    : Azman Jumat


KOTA KINABALU: Tanggungjawab terhadap saudara baharu tidak terhenti selepas mereka melafazkan dua kalimah syahadah. 


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sebaliknya mereka memerlukan bimbingan, perhatian, kasih sayang dan sokongan berterusan.

"Saudara baharu perlu terus disantuni menerusi pendidikan agama, bimbingan kerohanian, kebajikan, pembangunan ekonomi, latihan kemahiran serta sokongan sosial supaya mereka mampu menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dengan penuh keyakinan, ketenangan dan istiqamah.

Pasukan Negeri Sembilan dinobatkan johan keseluruhan IJMAM 2026


"Kita mahu melahirkan mualaf yang bukan sahaja memahami Islam, tetapi merasai keindahan Islam; bukan sahaja menjadi penerima, tetapi akhirnya mampu menjadi penyumbang; bukan sahaja dibimbing, tetapi suatu hari nanti mampu membimbing orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Ijtima' Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, pada Sabtu.

Hajiji berkata, tema “Memperkasa Mualaf, Memperkukuh Ummah” membawa mesej jelas bahawa pembangunan mualaf adalah sebahagian daripada agenda besar pembangunan ummah.

"Kerajaan negeri akan terus menyokong usaha yang dapat memperkasa masyarakat termasuk komuniti mualaf supaya mereka mempunyai peluang untuk maju, berdikari dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

"Jadilah saudara baharu yang bukan sahaja menerima bimbingan, tetapi pada suatu hari nanti mampu pula menjadi pembimbing, pendakwah, pemimpin, inspirasi dan jadilah bukti bahawa hidayah Allah mampu mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih baik dan lebih bermakna," ujarnya.

Johan Tilawah Al-Quran kategori wanita Qaseh Qhatijah Tan memperdengarkan bacaannya


Pada IJMAM 2026, pasukan dari Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara keseluruhan, diikuti Sabah di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan di tempat ketiga, manakala Negeri Kelantan bakal menjadi tuan rumah pada tahun 2028.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Setiausaha Persekutuan, Datuk Mohd Razali Wahab dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Awang Juri Ag Tahir./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM