Paitan, Sook Akan Dinaiktaraf Daerah Penuh

Wartawan : Bustan Made Aming

Jurufoto : Johny Kimlon

Paitan: Daerah kecil Paitan dan Sook akan dinaiktaraf ke daerah penuh setelah beberapa perkara teknikal urusan pentadbiran dan  persempadanan daerah diselesaikan dalam masa terdekat. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata cadangan tersebut telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini dan telah dimaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkenaan agar mengambil langkah-langkah untuk mempercepatkan proses menaik taraf kedua-dua daerah kecil itu.

Hajiji berucap di Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama KPMKR dan Pejabat Daerah Kecil Paitan di Dewan Terbuka Paitan.


“Melalui penaiktarafan ini, kita berharap perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di kedua-dua kawasan dapat ditingkatkan selaras dengan status daerah penuh.

“Saya percaya dengan menaik taraf daerah ini akan mengubah landskap pembangunan dan memberi kesejahteraan yang sebenar kepada rakyat," katanya kepada media dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri dan Pejabat Daerah Kecil Paitan di Dewan Terbuka Paitan, pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, Hajiji mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk membina sebuah Dewan Serbaguna di Paitan bagi memenuhi keperluan rakyat di daerah tersebut.

Hajiji (empat kanan) menerima cenderamata yang disampaikan oleh Rudy (empat kiri) disaksikan oleh James (tiga kiri), Arifin (tiga kanan) dan Masiung (dua kanan).


"Kerajaan juga sedang melaksanakan Projek Jalan Paitan ke Pantai Boring dengan kos bernilai RM123 juta membuktikan kerajaan tidak lupa Paitan.

“Banyak lagi projek yang akan dilaksanakan, antaranya Jalan Persekutuan dari Kanibongan ke Pitas yang agak teruk, saya akan tulis surat kepada Menteri Kerja Raya Persekutuan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi agar jalan ini dibaiki, dinaik taraf serta diturap," ujarnya. 

Selain itu, projek-projek lain yang telah diluluskan ialah pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) 132 Kilovolt (KV) elektrik dari Bengkoka, Pitas ke Sugut, Paitan dan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sugut, Paitan yang membabitkan 11 kampung serta Jalan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Tabatu, Paitan sepanjang 5.6 kilometer.

Hajiji (tiga kanan), James (dua kiri) dan Rudy (tiga kiri) menyentuh bulatan simbolik perasmian.


Turut hadir, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Datuk Masiung Banah, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ketua Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri