Sesi Libat Urus-Pemimpin Harus Salur Maklumat Kepada Komuniti Setempat

Wartawan : Idris Sani Saberun

Jurufoto : Mohd Rizal Matasan


Kota Kinabalu: Pemimpin akar umbi diingatkan untuk terus menyalurkan maklumat hasil daripada Program Sesi Libat Urus kepada komuniti setempat di kawasan masing-masing.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata penganjuran program tersebut bertujuan memberi maklumat yang tepat kepada pimpinan setempat agar maklumat pembangunan dasar dan insentif kerajaan dapat disebar luas ke peringkat akar umbi.

Arifin ketika menyampaikan ucapan.


"Hari ini kita anjurkan program tatakelola berhubung dengan peranan agensi  kerajaan negeri dan persekutuan yang ada hubungkait dengan masyarakat di Membakut.

"Isu yang ditimbulkan antaranya tentang jalan raya, bekalan elektrik dan air dan kita juga menjemput pegawai daripada Pejabat Tugas-Tugas Khas, Jabatan Ketua Menteri (JKM) yang menyediakan maklumat khusus kepada para pelajar berhubung inisiatif-inisiatif pendidikan.

"Pada sesi ini juga, kita mendapat pencerahan daripada Pegawai di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri yang menyediakan maklumat berkaitan insentif kerajaan persekutuan melalui Program SejaTi MADANI.

"Kita amat bertuah kerana daerah kita menjadi daerah pertama di Sabah mendapat penjelasan insentif SejaTi MADANI yang boleh memberi manfaat kepada komuniti setempat untuk mengimarahkan aktiviti ekonomi komuniti sehingga RM100 ribu.

"Semua maklumat terkini ini perlu kita jelaskan kepada masyarakat agar maklumat yang tepat dan insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri serta persekutuan dapat dinikmati," katanya ketika ditemui media di Majlis Sesi Libat Urus Pemimpin Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut di Dewan Sa'adah Wisma MUIS, pada Khamis.

Taklimat Insentif Bantuan Pendidikan Negeri Sabah disampaikan Ketua Penolong Setiausaha II Pejabat Tugas-Tugas Khas JKM, Jurainah Juti.


Jelas beliau, taklimat pembangunan dan sesi soal jawab program tersebut mendapat respon serta penjelasan yang baik daripada para panel jemputan.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat dan berharap sesi libat urus itu  yang sebelum ini diadakan di Sook dan Nabawan akan diteruskan ke daerah yang lain.

Seramai kira-kira 500 pemimpin masyarakat terdiri daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Pembangunan Bandar (JKDB), pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Membakut dan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) mengambil bahagian pada majlis tersebut.

Arifin ketika menyampaikan cek cura Sumbangan Ramadan daripada Yayasan Dansanak Sabah kepada salah seorang pengerusi PMBS.


Hadir sama, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JKM, Mohamad Sidik Awang Adi, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Datuk Dr Omar Rasul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar dan Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Ahadin Arinen. /Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri