Kerajaan Negeri Lancar Program SABAH-MM2H

 Wartawan        : Idris Sani Saberun

Jurufoto            : Mohd Sazwan Roslan


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) melancarkan Program Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H).

TAKLIMAT...Murad (kanan) ketika memberi taklimat berkenaan dengan Program Sabah-MM2H serta syarat-syarat penyertaan kepada tetamu yang hadir.

Menterinya Datuk Christina Liew berkata, Kabinet Negeri Sabah telah meluluskan Program SABAH-MM2H dan susulan acara pelancaran program tersebut kementeriannya bersedia menerima permohonan bermula 1 Julai ini.

Jelasnya, program Sabah-MM2H bertujuan untuk memperkenalkan peluang pemilikan kediaman bagi pesara, ekspatriat atau individu warganegara asing yang ingin berpindah, menikmati kediaman jangka panjang atau memiliki rumah kedua di negeri ini.

Christina ketika berucap pada majlis pelancaran Program Sabah-MM2H di Shangri-la Tanjung Aru Resort.

"Selain menarik pelaburan asing melalui program ini, ia juga dilihat sebagai pemangkin pertukaran budaya, ekonomi dan pembangunan komuniti yang mampan untuk negeri ini.

"Saya mengalu-alukan semua bakal peserta (pelabur) dan pihak yang berkepentingan untuk menjadikan Sabah bukan hanya sebagai destinasi pelancongan tetapi sebagai tempat untuk menetap sambil menikmati kemesraan rakyat tempatan dan menikmati keharmonian di negeri ini," katanya ketika melancarkan Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H) di sini, pada Ahad.

Christina (tengah) ditemani Awang Shaminan (kiri) dan Josie (kanan) ketika menjawab soalan yang dikemukakan agen pelancongan yang bakal mewakili Sabah bagi Program Sabah-MM2H.

Katanya, antara syarat bagi menyertai program ini adalah peserta perlu mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM10 ribu sebulan bagi perseorangan atau RM15 ribu sebulan untuk peserta berkeluarga.

Selain itu, pemilihan kediaman haruslah dari jenis bertingkat (high rise property) seperti kondominium dengan harga minimum RM600 ribu seunit serta syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi.

Christina ketika ditemui media.

"Kita tidak benarkan peserta untuk membeli pemilikan harta tanah (landed property) kerana kediaman jenis ini hanya dikhaskan untuk rakyat tempatan. 

"Selain pemilikan hartanah para peserta Sabah-MM2H juga berpeluang untuk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti untuk anak-anak di institusi pendidikan terkemuka.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

"Program ini juga turut menawarkan kemudahan Visa boleh diperbaharui kepada peserta sehingga 10 tahun dengan keistimewaan kemasukan Visa berbilang," katanya.

Beliau berharap agar pelancaran program ini dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah.

Hadir sama, Setiausaha Tetap KePKAS Josie Lai, Setiausaha Tetap Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Sahari serta Ketua Penolong Setiausaha KePKAS Murad Abdul Rashid.

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri