DBKK Guna Pendekatan Mesra Ajak Peniaga Kibar Jalur Gemilang

Wartawan    : Idris Sani Saberun
Jurufoto       : Azman Jumat, Johnny Joklis


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menggunakan pendekatan lawatan dan tinjauan mesra kepada para peniaga bagi menyemarakkan kempen Kibar Jalur Gemilang.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata para pegawai DBKK akan melaksanakan tugasan tersebut bagi memastikan para pemilik premis dan peniaga bersama-sama menjayakan kempen kibar bendera kebangsaan dan negeri pada tahun ini.

PENJELASAN... Sabin ketika menjawab soalan tambahan media berkenaan perkembangan kempen HHBBB menjelang penguatkuasaan 1 Ogos nanti.

Katanya, pada peringkat awal pihak DBKK akan membuat lawatan mesra bagi memeriksa dan mengetahui kenapa mereka tidak boleh melaksanakan kempen ini.

"Kita akan membuat tinjauan mesra untuk berjumpa dengan pemilik premis yang mungkin belum mengibarkan bendera.

"Kita ingin mengetahui sama ada mereka mempunyai masalah mendapatkan bekalan bendera ataupun tidak.

"Selepas itu, kita akan minta mereka membuat pembelian untuk memastikan mereka mesti mengibarkan bendera di premis perniagaan mereka sepanjang sambutan ini," katanya.

KEMPEN.. Sabin ketika menjelaskan kepada media tentang program walkabout 
dan tinjauan persiapan raptai 
Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan
Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Walkabout Pra Publisiti Sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri 2024 di Jalan Gaya pada Selasa.

Katanya, sebagai permulaan lebih 200 Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah diagihkan secara percuma kepada para peniaga sekitar Jalan Gaya sebagai persediaan mengimarahkan pelancaran program tersebut yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 1 Ogos ini bermula 9.00 pagi di Perkarangan Bangunan DBKK.

Menurutnya, pendekatan yang sama juga turut digunakan kepada peniaga yang gagal mematuhi kempen pengurangan penggunaan beg plastik yang dijenamakan 'Hari-Hari Bawa Beg Bah' (HHBBB) oleh DBKK yang juga bermula 1 Ogos nanti.

 GELORA MERDEKA... Sabin (tengah) bersama Jainisah (empat dari kiri) dan Lifred (dua dari kiri) menyampaikan Jalur Gemilang dan bendera negeri kepada wakil pemilik kedai kasut Bata di Jalan Gaya.

"Seperti yang saya katakan, pada peringkat permulaan ini kita akan membuat lawatan mesra bagi melihat kenapa mereka tidak boleh melaksanakan perkara tersebut.

"Namun setakat ini reaksi mereka (peniaga) cukup bagus kerana kebanyakan mereka juga telahpun melaksanakan kempen ini secara berperingkat hinggalah yang terkini pada tiga hari setiap minggu.

Wakil pemilik kedai menerima Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah daripada Sabin (enam dari kiri) sebagai persediaan Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri.


"Jadi bila kita mulakan pada 1 Ogos, kita yakin para peniaga dan orang ramai akan menyambut baik kempen ini.

"Bagaimanapun, kempen itu tidak terpakai di pasar basah dan pasar ikan, namun kita cuba menggalakkan mereka untuk menggunakan bahan yang lain," katanya.

Sabin sebelum itu, bersama-sama dengan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Chee Shok Ting, Pengarah Penerangan (JaPen) Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengarah Bahagian Istiadat dan Protokol, Shafaruddin Halide turut meninjau raptai penuh dan persiapan akhir Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 di lokasi pelancaran.

Jainisah (kiri) menunjukkan pelan pergerakan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 2024 anjuran JaPen kepada Sabin (tengah) ketika bersama meninjau tapak pelepasan 
di Jalan Tugu.

Hadir sama Ketua Pengarah DBKK Sr Lifred Wong, Timbalan Ketua Pengarah DBKK Faradillah Abdul Rani dan Timbalan Pengarah JaPen Sabah Supian Musa./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri