KUSKOP Salur RM700.93 Juta Bantu Usahawan Sabah - Ewon
Wartawan: Idris Sani Saberun
Foto: Johny George Kimlon
KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan pembiayaan berjumlah RM700.93 juta kepada 50,879 usahawan dan koperasi antara Januari hingga November 2024.
Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan melalui 10 agensi di bawah KUSKOP tersebut antaranya termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas, dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
"Selain itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di Sabah sepanjang 2024, yang memberi manfaat kepada 1,585 usahawan," katanya.
Menurut Ewon, pelbagai inisiatif dan intervensi telah dilaksanakan bagi memastikan momentum kejayaan usahawan dan koperasi terus meningkat, terutamanya di Sabah.
Beliau turut menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus melaksanakan program dan inisiatif keusahawanan pada tahun 2025 bagi memastikan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi di Sabah mendapat bantuan sewajarnya.
"Fokus tambahan akan diberikan kepada Malaysia Timur, khususnya Sabah dan Sarawak dengan pelaksanaan Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Santuni MADANI KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Kadamaian Square Taginambur disini, pada Isnin.
PROGRAM EHSAN@KUSKOP... Hajiji menyampaikan Insentif Kecemerlangan SPM & STPM 2024 kepada Natalie Kamo (dua dari kanan). |
Ewon menyampaikan Bantuan Pembiayaan iTEKAD Usahawan B40 Kota Belud kepada Elinah Pitah (dua dari kanan). |
Pada majlis tersebut Ketua Menteri turut melancarkan Program Khas Ehsan@KUSKOP yang bertujuan menoktahkan kemiskinan di Sabah melalui sinergi antara agensi-agensi KUSKOP.
Bagi memperkukuhkan penyelarasan, KUSKOP juga menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja, dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah.
Selain itu, untuk memperkasakan capaian maklumat dan perkhidmatan, agensi-agensi seperti INSKEN, Pernas, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, dan SKM telah memperluas bilangan cawangan di Sabah.
SME Corp pula merancang pembukaan hab PMKS di Sabah pada tahun hadapan sebagai langkah menyokong pembangunan ekonomi dan keusahawanan di negeri ini.
Turut hadir, Pengerusi Sabah Electricity Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Pengerusi Qhazanah Sab ah Datuk Dr Yusof Yacob, Pengerusi Sabah Softwoods Berhad Datuk Arsad Bistari, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Benedict Lasimbang, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta ketua-ketua agensi KUSKOP. /Penerangan-
Comments
Post a Comment