Rakyat Tunjang Kesejahteraan, Pembangunan Negeri-Tun Juhar
Wartawan : Mohd Haizul Rohani
Foto : Mohd Sazwan Roslan
KOTA KINABALU : Rakyat merupakan asas dalam membentuk kesejahteraan dan pembangunan sesebuah negeri.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata rakyat menjadi tunjang yang akan membantu dalam mencapai kesejahteraan, pembangunan dan kejayaan sesebuah negeri.
"Perjalanan yang panjang dan pelbagai pengalaman sepanjang saya memegang jawatan sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri ada kalanya penuh ranjau dan sudah lumrah yang lazim ditempuhi dalam pemerintahan.
"Namun, apa yang pasti rakyat tidak boleh dipinggirkan dalam setiap keputusan dan tindakan, semua dasar yang digubal haruslah memberi fokus kepada kesejahteraan serta kebajikan rakyat.
"Tanpa sokongan dan kepercayaan rakyat, tiada kejayaan yang dapat diraih dalam pemerintahan," katanya semasa Majlis Penghargaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah anjuran kerajaan negeri, di sini pada Isnin.
Beliau turut mengingatkan kejayaan dan pembangunan negeri tidak akan tercapai sekiranya tiada perpaduan di kalangan masyarakat dan semua pihak.
Hajiji (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tun Juhar (dua dari kanan) tanda penghargaan atas jasa beliau. |
"Kejayaan dan kemajuan negeri ini bergantung pada semangat perpaduan dan sokongan yang berterusan daripada semua pihak.
"Saya percaya dengan kerjasama yang tidak putus-putus, negeri Sabah akan terus berkembang dan mencapai kegemilangan yang lebih besar," ujar Tun Juhar.
Dalam ucapannya, Tun Juhar turut menzahirkan tahniah kepada Tun Musa Aman yang menerima watikah perlantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-11 bermula 1 Januari 2025.
Beliau juga merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Negeri dan Persekutuan, pemimpin masyarakat serta kakitangan awam yang bersama-sama menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan Sabah sepanjang beliau memimpin negeri ini.
Tun Juhar telah berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-10 selama 14 tahun bermula 1 Januari 2011 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah dan ahli kabinet kerajaan negeri./Penerangan-
Comments
Post a Comment