RM124.7 Juta Majukan Sektor Perindustrian Dan Keushawanan Sabah - Hajiji
Wartawan : Idris Sani Saberun
Foto : Johny George Kimlon
KOTA BELUD: Sebanyak RM124.70 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi memajukan pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan pada tahun 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, adalah menjadi komitmen kerajaan untuk melihat usahawan dan koperasi di negeri ini termasuk kawasan Kadamaian mengambil setiap peluang yang disediakan oleh kerajaan agar lebih berdaya saing dan kompetitif.
Hajiji ketika menyampaikan ucapan. |
"Melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan dan koperasi yang secara langsung menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi masyarakat.
"Dengan pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan, saya yakin usahawan di negeri ini mampu terus maju, terutama dalam sektor pelancongan dan pertanian," katanya semasa Program Santuni Madani KUSKOP di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, pada Isnin.
Hajiji beramah mesra bersama tetamu yang hadir sejurus tiba di Dewan Kadamaian Square, Taginambur sambil diiringi Ewon. |
Menurutnya, kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus diperkukuhkan untuk melaksanakan program-program berimpak tinggi yang sesuai dengan keperluan semasa.
"Saya amat menghargai usaha KUSKOP dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi di negeri ini. Keberhasilan yang direkodkan menunjukkan dedikasi kementerian dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan dan gerakan koperasi," katanya.
Beliau turut berharap agar Pelan Pembangunan Kadamaian, yang dilancarkan pada 2020 akan terus menjadi panduan bagi kementerian, agensi, dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan ke kawasan itu demi kesejahteraan rakyat setempat.
Hajiji juga menekankan pentingnya mengekalkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan rakyat untuk membangunkan sosio-ekonomi negeri secara menyeluruh.
Sempena sambutan Rumah Terbuka Krismas Kadamaian, Hajiji turut mengajak seluruh rakyat untuk terus mengeratkan perpaduan dan saling menghormati dalam meraikan kepelbagaian budaya di negeri ini.
"Kita perlu merai dan menghargai nilai-nilai bersama dan keindahan kepelbagaian yang ada di Sabah, semoga Krismas ini membawa kedamaian, keharmonian, dan kasih sayang kepada kita semua," tambahnya.
Hajiji dan Ewon memotong kek Rumah Terbuka Krismas sambil disaksikan tetamu kenamaan dan hadirin yang hadir di Dewan Kadamaian Square, Taginambur. |
Hadir sama, Menteri KUSKOP merangkap ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick, Pengerusi Sabah Electricity Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Pengerusi Qhazanah Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, Pengerusi Sabah Softwoods Berhad Datuk Arsad Bistari, ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Tun Said, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Benedict Lasimbang serta Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. /Penerangan-
Comments
Post a Comment