Sabah Perkasakan Tahap Penguasaan Bahasa Inggeris - Arifin
Wartawan : Zuraidah Ahmad
Foto : Johny G. Kimlon
MEMBAKUT: Sabah akan memperkasakan lagi tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar mulai tahun depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata selain memberi fokus kepada Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerajaan negeri juga serius dalam usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.
"Apa yang ingin kita perkasa di Sabah ini, saya sasarkan 2025 ini untuk fokus kepada TVET dan STEM.
"Kedua, untuk pemerkasaan Bahasa Inggeris, dalam masa terdekat ini saya akan panggil Pengarah Jabatan Pendidikan daripada UMS, UiTM kemudian IPG, kemudian beberapa pakar untuk mendengar sumbang saran mereka untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di Sabah.
"Kita akan mendapat pandangan daripada Pengarah Jabatan Pendidikan dan beberapa pakar bagaimana cara untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris," jelas beliau.
Arifin yang juga Exco Pendidikan memaklumkan pihaknya telah berbincang dengan beberapa pensyarah serta pakar dari UMS berhubung dengan penubuhan Pusat Kecerdasan Buatan (AI) di negeri ini.
"Pusat ini memerlukan kepakaran dan kita akan jadikan Sabah sebagai salah satu pusat A.I kerana Sabah mempunyai potensi yang besar. Mudah-mudahan dengan adanya Pusat AI ini kita dapat membantu universiti, pengajian tinggi, sekolah-sekolah.
"Kita perlu penguasaan AI dalam kalangan penonton, pelajar khususnya dan saya yakin dengan kepakaran kita atau kebolehan kita dalam AI akan membantu dari sudut pekerjaan pada masa hadapan kerana yang akan mengambil tempat pada masa hadapan inilah bidang AI," katanya ketika ditemui media dalam Majlis Ramah Mesra PRISMA Warga Pendidikan DUN N.31 Membakut di Dewan Seri Wawasan, Pimping dekat sini, hari ini.
Hasrat Sabah menubuhkan pusat AI diumum oleh Arifin dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 di Dewan Undangan Negeri Sabah, pada November lalu./Penerangan-
Comments
Post a Comment