25,000 Hadir Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina
Wartawan : Siscalistorina Janius
Jurufoto : Jefren Malaning/ Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU: Kira-kira 25,000 orang menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri, pada Khamis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Josie Lai, berkata majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran persatuan-persatuan Cina dari sekitar Kota Kinabalu serta kumpulan-kumpulan etnik pelbagai budaya.
Christina (dua dari kanan) menyambut kehadiran Tun Musa (kiri). |
Sebahagian persembahan dalam majlis tersebut. |
Sebahagian persembahan dalam majlis tersebut. |
Tun Musa (dua dari kiri) memberi angpau kepada salah seorang warga emas yang hadir. |
Tun Musa ( tiga dari kiri) ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di SICC. |
Tun Musa (tengah) bersama Hajiji (dua dari kiri) ketika menggaul Yee Sang. |
"Kami amat gembira melihat ramai pengunjung hadir dengan mengenakan cheongsam, pakaian merah, serta busana tradisional etnik masing-masing, mencerminkan perpaduan dan kepelbagaian budaya di Sabah," katanya ketika ditemui media sejurus acara selesai.
Menurutnya, SICC mula menerima kedatangan orang ramai seawal jam 8 pagi, meskipun acara rasmi hanya bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 2 petang.
"Sebanyak 15 hotel terkemuka di ibu negeri turut dijemput oleh kerajaan negeri untuk menyediakan pelbagai hidangan istimewa kepada para pengunjung," tambahnya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, jemaah kabinet negeri serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Seri Panglima Christina Liew./Penerangan-
Comments
Post a Comment