USIA Tubuh Yayasan, Mudahkan Urusan Dakwah

 Wartawan        : Deonalissa Jekee Edin

Jurufoto            : Merusin Minuddin

KOTA KINABALU : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan menubuhkan sebuah yayasan bagi memudahkan urusan pembangunan dakwah. 

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad menjelaskan penubuhan yayasan berkenaan adalah bagi memudahkan urusan-urusan berkaitan dengan pemantapan pendidikan serta pembangunan dakwah USIA yang semakin mencabar.

Sapawi ketika ditemui media.

"Kita telah memohon restu daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkenaan cadangan penubuhan yayasan di bawah USIA. 

"Setakat ini, Tun Musa memberikan respon yang positif terhadap cadangan penubuhan yayasan ini.

"Yayasan ini adalah berbeza dengan yayasan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) lain memandangkan yayasan di bawah SSM memerlukan satu dana, seperti deposit tetap, model tetap tetapi kita boleh bergerak atas nasihat-nasihat yang diberikan," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Tun Musa (tengah) bergambar kenangan bersama rombongan USIA.

Menurut Sapawi, kunjungan berkenaan juga bertujuan untuk memaklum dan memberikan taklimat berkaitan pelaksanaan Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022 - 2024 serta perkembangan Pusat Latihan Dakwah (PLD) USIA - AlBukhary Kota Marudu yang telah siap.

"PLD ini akan dijadikan Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) untuk lepasan tahfiz dan pondok meneruskan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang TVET.

Sapawi (tiga dari kiri) bersalaman dengan Tun Musa (kanan).

"Selain itu, pimpinan USIA turut menyatakan hasrat untuk mengangkat Tun Musa sebagai Penaung USIA," tambahnya. 

Sapawi turut memaklumkan bagi memantapkan usaha dakwah di Sabah, USIA akan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) lain.

SUASANA...Suasana ketika kunjungan hormat sedang berlangsung.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Yang Dipertua USIA Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan, Datuk Alipuddin P. Puyon, Naib-naib Yang Dipertua Datuk Arshad Idris, Datuk Pg Saifuddin Pg Tahir, YB Datuk Samad Jambri, Setiausaha Agung Datuk Iman Ali, Bendahari Agung Sainuri Yahmin, Ketua Penerangan Datuk Salsidu Ibrahim, Penolong Setiausaha Agung Zulhaimi Asbi, Ketua Belia Datuk Jamawi Jaafar, Ahli-ahli Majlis Tertinggi Datuk Dr Mingu Jumaan, Datin Sri Rokiah Badar dan Ustazah Zulpah Tun Datu Mustapha.

Comments

Popular posts from this blog

Pekan Kecil Mengkabong Dibina Tahun Ini

SK Mutiara Wakili Malaysia Ke Dance World Cup 2024

Hasil BIGC 2024 Diteliti, Dibawa Ke Kabinet Negeri