Media Main Peranan Sebar Luas Dasar, Inisiatif KPT - Mustapha

Wartawan : Idris Sani Saberun

Foto : Mohd Rizal Matasan


KOTA KINABALU : Media massa memainkan peranan penting dalam membantu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyebarluaskan maklumat berkaitan dasar, program serta inisiatif yang dilaksanakan kementerian.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata kewartawanan profesional sangat penting dalam memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah tepat dan sahih, terutamanya dalam era digital yang menyaksikan lambakan berita tidak berasas. 


Mustapha ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Tautan Kasih Bersama Pengamal Media Zon Sabah pada Khamis. 


"Cabaran besar kini ialah kemunculan wartawan jadian di media sosial yang sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. 

"Di sinilah pentingnya peranan wartawan profesional untuk menangkis maklumat tidak tepat ini dengan melaporkan fakta sebenar,” katanya ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih Bersama Pengamal Media Zon Sabah di sini, pada Khamis. 

Mustapha turut menzahirkan penghargaan kepada pihak media yang sentiasa menyokong KPT, terutama dalam mempromosikan program berkaitan pembangunan bakat, penyelidikan, pemindahan ilmu, dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi. 


GEMBIRA...Damian Niklaus D. Sitampek (lima dari kanan) gembira menerima sumbangan PTPTN berupa Simpan SSPN Prime daripada Mustapha (tengah) sambil disaksikan Ahmad Dasuki (tiga dari kiri).



Dalam majlis yang sama, Mustapha turut menggalakkan orang ramai, khususnya ibu bapa untuk menabung dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang diperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai persediaan bagi pembiayaan pendidikan anak-anak. 

"Kami berharap dengan budaya menabung ini, anak-anak tidak lagi terbeban dengan masalah kewangan apabila melanjutkan pelajaran ke universiti kelak," katanya.  

Beliau turut menasihati peminjam PTPTN yang menghadapi kesulitan untuk tampil berbincang dengan pihak perbadanan bagi mendapatkan penyelesaian terbaik. 

"PTPTN sedia menawarkan penstrukturan semula pinjaman untuk membantu mereka yang benar-benar menghadapi masalah kewangan. Kami tidak mahu peminjam berasa tertekan, tetapi yang penting, mereka perlu tampil berbincang," jelasnya. 

Sempena majlis tersebut, seramai 20 anak-anak pengamal media yang terpilih menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime sebagai galakan untuk memulakan tabungan pendidikan mereka. 

Mengenai perkembangan pendidikan tinggi, Mustapha memaklumkan institusi pengajian tinggi di Malaysia kini giat menawarkan program berkaitan kecerdasan buatan (AI), automasi, dan teknologi baharu bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang. 

"Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membuka fakulti khusus bagi program AI pada tahun lalu, manakala universiti lain juga kini sedang giat memperkenalkan program berkaitan teknologi baharu untuk melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan industri," jelasnya. 

Beliau menegaskan usaha  tersebut penting bagi mengurangkan isu ketidakpadanan antara kelayakan graduan dan keperluan industri (mismatch), sekali gus memastikan pelajar yang menamatkan pengajian memiliki kemahiran yang diperlukan di pasaran kerja. 

"Tugas besar kita adalah memastikan kurikulum yang ditawarkan selari dengan kehendak industri agar graduan kita tidak hanya berilmu, tetapi juga berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja masa kini," ujarnya.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Majid, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar, Ketua Komunikasi Korporat KPT Mohamad Hafizi Rosli serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS Dr. Rizal Zamani Idris./Penerangan-


SUMBANGAN... Ahmad Dasuki (tiga dari kiri) menyampaikan cek cura kepada Muguntan (dua dari kanan) sambil disaksikan Mustapha (tengah) pada majlis penyampaian sumbangan CSR PTPTN kepada SJA.


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah