Kerajaan Negeri Fokus Perkasa Ekonomi Luar Bandar - Hajiji

 Wartawan :  Hamiza Zainal
 Foto :  Mohd Rizal Matasan / Johnny Joklis


PENAMPANG: Kerajaan Negeri komited mempelbagaikan pendekatan strategik demi memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi luar bandar termasuk pemodenan pertanian, pelancongan komuniti dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha tersebut antara teras penting dalam misi menjana kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan inklusif di bawah kerangka Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Hajiji ketika menyampaikan ucapan. 

“Rakyat luar bandar perlu terus diberi peluang ekonomi, sama ada melalui pertanian moden, pelancongan berasaskan komuniti mahupun latihan kemahiran. Ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan mereka tetapi juga mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan pada Jumaat. 

Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri Sabah.

GIMIK... Anwar (tiga dari kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025.


Hajiji berkata Lembaga Padi dan Beras Sabah telah diaktifkan semula bagi menyokong keterjaminan makanan melalui peningkatan tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras tempatan.

“Kita menyasarkan 30 peratus SSL beras pada tahun depan dan 60 peratus menjelang 2030, langkah ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh bekalan makanan tempatan,” tambahnya.

SUASANA...sekitar Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di KDCA. 



Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan dasar pembangunan negeri sangat bergantung kepada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Saya amat yakin hubungan yang kukuh dan erat dengan Kerajaan Persekutuan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan dasar - dasar pembangunan negeri. 

"Ia penting dalam memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat secara langsung," ujar beliau.

SUASANA...sekitar Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di KDCA. 



Selain itu, Hajiji turut menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesudian hadir merasmikan sambutan Pesta Kaamatan. 

Tambahnya, Pesta Kaamatan tahun ini membawa tema "Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan", menandakan sambutan ke - 65 sejak ia diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1960. 

SUASANA...sekitar Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di KDCA. 



Hajiji juga menegaskan bahawa Kaamatan bukan milik satu kaum semata-mata, tetapi milik semua rakyat Sabah kerana mencerminkan semangat muhibah dan keharmonian yang menjadi asas kestabilan negeri ini.


Hadir sama Timbalan - timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan serta Menteri - menteri kabinet negeri dan Persekutuan./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah