Wartawan: Nazri Ramshah Abdul Basah
Foto: Merusin Minuddin
KOTA KINABALU: Peluncuran Kad Pekerja MADANI membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan kesatuan sekerja dalam landskap pekerjaan negara.
 |
| Bacaan ikrar sebelum sesi taklimat bermula. |
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, melalui kad berkenaan, ahli kesatuan akan diberikan pengiktirafan rasmi serta akses kepada pelbagai manfaat digital yang direka bagi meningkatkan kesejahteraan mereka.
“Kad ini merupakan inisiatif strategik dan progresif daripada kerajaan kepada pekerja yang menganggotai kesatuan sekerja di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).
“Antara manfaat utama kad ini termasuk proses pengesahan status keahlian, pengumpulan data pekerja berkesatuan yang lebih tersusun, jaringan perlindungan sosial dan kebajikan, serta akses kepada ganjaran dan keistimewaan melalui kerjasama rakan strategik,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Taklimat Kad Pekerja MADANI Peringkat Negeri Sabah.
 |
Desmond membacakan teks ucapan Phoong
|
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politik, Desmond Chan Loong Wei di Dewan Auditorium Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara pada Selasa.
Phoong berkata, pelaksanaan kad itu juga sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan merupakan amalan terbaik yang turut dilaksanakan di beberapa negara maju, yang menekankan peranan kesatuan sebagai saluran utama menyuarakan isu pekerja secara kolektif dan konstruktif.
“Pelaksanaan kad ini merupakan permulaan penting dalam memastikan setiap suara pekerja dapat disalurkan secara tersusun dan diiktiraf, sekali gus menyumbang kepada keharmonian industri,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor industri yang pelbagai di Sabah menjadi tunjang kepada ekonomi negeri, dengan para pekerja sebagai nadi penggerak utama.
“Penyertaan dalam kesatuan sekerja bukan sahaja memberi kekuatan rundingan yang sah dan kolektif kepada pekerja, malah menyumbang kepada pembinaan ekosistem pekerjaan yang lebih teratur, berdaya saing dan inklusif.
“Pelaksanaan Kad Pekerja MADANI di Sabah adalah langkah awal penting dalam memperluas kesedaran mengenai kepentingan menyertai kesatuan yang sah,” ujarnya.
 |
| Antara majikan-majikan dan kesatuan sekerja yang hadir. |
Menurut beliau, inisiatif itu turut menyokong prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), sebagai rangka kerja penting dalam pembangunan lestari.
Dalam pada itu, katanya majikan turut memainkan peranan penting sebagai rakan strategik bagi menjayakan pelaksanaan kad berkenaan.
“Antara peranannya termasuk menawarkan diskaun dan keistimewaan terhadap barangan atau perkhidmatan kepada pemegang kad, serta menyokong penyertaan pekerja dalam kesatuan yang sah sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap tadbir urus korporat yang baik dan hubungan industri yang harmoni,” katanya lagi./Penerangan-
Comments
Post a Comment