Kampus ABM Sabah Bernilai RM130.6 Juta Pacu TVET

Wartawan: Zuraidah Ahmad
Foto: Jeffren Malaning


 

PAPAR:  Sabah melakar sejarah baharu dalam pembangunan modal insan apabila Projek Pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah di Beringgis bernilai RM130.6 juta yang dimulakan secara rasmi, hari ini.


 Hajiji berada menggerakkan jengkaut sebagai simbolik majlis pecah tanah diiringi oleh Alexander (dua dari kiri) dan Shahelmey (tiga dari kiri) serta Armizan (tiga dari kanan) dan Gulamhaidar (dua dari kanan).



Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kampus baharu yang dibangunkan di kawasan seluas 34 ekar itu bakal menjadi pemangkin utama memperkasa golongan belia Sabah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam sektor pembinaan.


Kemudahan berteknologi tinggi di kampus baharu berkenaan dijangka menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan kapasiti latihan belia sebanyak 73 peratus dan personel binaan sebanyak 39 peratus berbanding kemudahan kampus sementara ABM di Kayu Madang, Kota Kinabalu.


 Hajiji ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kampus ABM Wilayah Sabah di Beringgis.



“Hari ini kita membuka lembaran baharu untuk Sabah. Kampus ini akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, menggilap bakat anak muda, meningkatkan daya saing mereka di pasaran pekerjaan, selain menjadi hab TVET Pembinaan Malaysia Timur,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kampus ABM Wilayah Sabah di Beringgis, dekat sini.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan infrastruktur serta modal insan sebagai tonggak pertumbuhan ekonomi negeri.



Hajiji (tengah) menyempurnakan gimik majlis pecah tanah.



Malah, penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah (MTS) pada Mei lalu menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam menyelaras lebih 160 institusi latihan TVET di Sabah agar seiring dengan keperluan industri semasa.



Hajiji (empat dari kiri) melihat model bangunan Kampus ABM.



Hajiji diberi penerangan ringkas mengenai projek pembinaan Kampus ABM.



Kata beliau, ABM Sabah dan CIDB Tech sudah berjaya melatih lebih 7,000 pelatih sejak penubuhannya, dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 85 peratus.

"Antara bidang yang mendapat permintaan tinggi termasuk scaffold erection, kimpalan, pemasangan paip gas, operasi jentera, elektrik, penyaman udara serta perpaipan, yang bukan sahaja diperlukan dalam industri pembinaan tetapi juga dalam sektor minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

“Dengan adanya kampus moden yang dilengkapi teknologi terkini seperti penggunaan dron, simulasi dan peralatan digital, Sabah akan melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk memenuhi permintaan pasaran global,” ujarnya.

Beliau yakin, kampus tersebut akan memberi limpahan ekonomi kepada daerah Papar khususnya kawasan Kampung Beringgis dan sekitarnya, di samping memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pusat latihan TVET yang berdaya saing.

Beliau berharap kampus berkenaan mampu melahirkan ikon TVET baharu seperti Rudy Mohammad, alumni ABM Sabah dalam bidang Architectural Drafting yang diiktiraf sebagai Ikon TVET Pembinaan pada 2024 dan berjaya ke peringkat dunia.

Turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ABM Sabah dengan tiga rakan strategik iaitu Sabah Housing and Real Estate Developers Association (SHAREDA), KTI Sdn Bhd dan Tas Institute of Oil and Gas, bagi memastikan graduan ABM mendapat peluang pekerjaan yang nyata dalam sektor perumahan, pembinaan dan minyak dan gas.

Dalam majlis sama, Hajiji mengumumkan pembinaan sebuah Dewan Masyarakat baharu di Kampung Beringgis, berhadapan dengan tapak Kampus ABM Sabah yang dinamakan Dewan Tan Sri Osu Sukam.

“Penamaan ini sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan sumbangan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Osu Sukam, yang juga mantan Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang, bukan sahaja kepada daerah Papar, malah kepada negeri dan negara,” jelas beliau.

Hadir sama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Ahli Parlimen Datuk Armizan Mohd Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar dan ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim./Penerangan-


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah