298 Pelajar Mumtaz, Prestasi Pendidikan Agama Sabah Terbaik 10 Tahun

Wartawan : Hamidah Len

Foto : Merusin Minuddin


KOTA KINABALU: Seramai 298 pelajar mencatat keputusan Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) bagi tahun 2025, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam tempoh 10 tahun di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata 213 pelajar memperoleh Mumtaz dalam SRU manakala 85 pelajar lagi mencapai pangkat sama dalam SMU.


Suasana ketika Sidang Media Pengumuman Keputusan Rasmi Peperiksaan Sijil Rendah Ugama dan Sijil Menengah Ugama Tahun 2025.

"Prestasi keseluruhan SRU mencatatkan pencapaian yang amat membanggakan dengan peratus kelulusan sebanyak 83 peratus iaitu peningkatan 4.76 peratus berbanding tahun 2024.

"Seramai 4,553 calon lulus dengan pecahan pangkat Mumtaz (213), Jayyid Jiddan (747), Jayyid (2,240) dan Maqbul (1,353).

"Manakala bagi peperiksaan SMU aliran Kurikulum Bersepadu Dini (KBD), 311 calon telah mendaftar dan 306 hadir menduduki peperiksaan melibatkan lima Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), dua Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan serta sebuah Sekolah Menengah Agama Rakyat.

"Selain itu, peperiksaan SMU Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) di SMAN Kunak, 25 calon hadir menduduki peperiksaan dengan Gred Purata Negeri sebanyak 2.32 meningkat 0.56 berbanding tahun 2024," katanya semasa Sidang Media Pengumuman Keputusan Rasmi Peperiksaan Sijil Rendah Ugama dan Sijil Menengah Ugama Tahun 2025, pada Khamis.

Arifin yang juga Exco Agama memaklumkan 22 Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh Sabah mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan SRU.


Arifin bergambar kenangan dengan pegawai tertinggi Jabatan HAl Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.



"SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah muncul sebagai Sekolah Terbaik mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.69 serta mencapai kelulusan 100 peratus," ujarnya.

Mengulas tentang pelajar terbaik, beliau memaklumkan Nur Aliya Raju Karno dari SAN Pekan Beaufort dinobatkan Pelajar Terbaik Negeri Sabah dalam peperiksaan SRU 2025 dengan pencapaian cemerlang 98 peratus.

"Seterusnya bagi Peperiksaan SMU KBD, pelajar terbaik ialah Balqis Nur Danisha Bahari dari SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah dengan pencapaian 94.68 peratus, manakala aliran KBT, pelajar terbaiknya ialah Muhammad Faezz Hakim Rahim dari SMAN Kunak dengan pencapaian 87.15 peratus," tambahnya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited memastikan kualiti pendidikan agama dipertingkatkan melalui penyediaan kemudahan pembelajaran, infrastruktur yang kondusif serta latihan berterusan kepada para guru./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah