Beberapa Jalan Utama Ditutup Sempena Sambutan Krismas Negeri Sabah 2025
Wartawan : Suzaima Ibrahim
Jurufoto : Vicky Sylvester Matanjang
KOTA KINABALU: Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya akan ditutup untuk memberi laluan kepada penganjuran Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah Ke-20 Tahun 2025.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Sabah, DSP Syahlan Sukimin berkata penutupan jalan berkenaan melibatkan sesi raptai pertama, raptai kedua serta acara kemuncak sambutan yang dijadualkan berlangsung pada 16 dan 19 Disember ini.
"Sebanyak lima jalan utama di sekitar lokasi sambutan akan ditutup secara berperingkat pada tarikh berkenaan, bergantung kepada keadaan trafik semasa.
“Raptai pertama akan diadakan pada 14 Disember diikuti raptai kedua pada 15 Disember.
"Manakala Majlis Perasmian Sambutan Hari Krismas berlangsung pada 16 Disember,” katanya ketika ditemui media selepas sesi temu bual di konti Sabah FM, pada Isnin.
![]() |
| Syahlan (kiri) dan Andi (kanan) ketika slot kita cerita kita kongsi bersama DJ Aziyan dan Kak Lang. |
![]() |
| Syahlan (tengah) diiringi Andi (dua dari kanan) bergambar bersama DJ Aziyan (kiri) dan DJ Kak Lang (kanan). |
![]() |
| Syahlan (kiri) diiringi Andi (kanan) ketika ditemui media. |
Menurutnya, laluan terlibat termasuk simpang KFC Bandaran ke Padang Merdeka, simpang Bukit Bendera, Bulatan Bunga Raya, lampu isyarat Dewan Bandaraya serta Bulatan Capital.
Majlis Perasmian Sambutan Hari Krismas itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar menghormati arahan anggota bertugas, menggunakan laluan alternatif yang disarankan melalui aplikasi navigasi seperti Google Maps, peka serta memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans.
Bagi memastikan kelancaran aliran trafik, JSPT Sabah telah menyediakan pelan pengurusan trafik termasuk pelan pengalihan laluan serta mengenal pasti jalan yang akan ditutup, dibuka dan dilencongkan./Penerangan-



Comments
Post a Comment