Kerajaan Disaran Perkasa PAUS, Sedia Biasiswa Khas Anak Autisme
Wartawan : Hamidah Len
Foto : Mohd Shahvian Razali
KOTA KINABALU : Bagi menjamin masa depan anak-anak autisme, kerajaan disaran untuk memberikan biasiswa khas dan dana latihan kemahiran merangkumi pembangunan kemahiran insaniah serta latihan vokasional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi berkata berdasarkan Belanjawan Sabah 2026, RM670,000 diperuntukkan bagi menambah Pusat Autisme Sabah (PAUS) untuk menyediakan pendidikan awal yang berkualiti dan mampu milik kepada golongan istimewa itu seawal usia tiga hingga tujuh tahun.
Razali ketika berada di DUN Sabah.
"PAUS wajar dinaik taraf bukan sekadar sebagai pusat latihan, sebaliknya berfungsi sebagai rumah kedua yang selamat dan terurus untuk anak-anak autisme.
“PAUS perlu menyediakan penjagaan rapi berterusan, latihan kemahiran, rutin kehidupan serta aktiviti sosial supaya mereka boleh terus hidup, belajar, bekerja dan berasa diterima dalam masyarakat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) pada hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan pendekatan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) Bertingkat khusus untuk kawasan separa bandar sebagai sebahagian daripada dasar perumahan mampan Sabah.
“Dalam masa sama, saya mencadangkan Kerajaan Negeri menjalankan kajian menyeluruh berkaitan Rumah SMJ Atas Air bagi komuniti penempatan atas air supaya reka bentuk perumahan dapat disesuaikan dengan realiti setempat dan keperluan sebenar rakyat.
“Pendekatan ini membolehkan lebih ramai keluarga dibantu tanpa menambah keluasan tanah, sekali gus menjadikan pelaksanaan Rumah Mesra SMJ lebih inklusif dan praktikal,” ujarnya.
Beliau juga mencadangkan penubuhan One Stop Centre (OSC) Digital yang diterajui bersama oleh kementerian berkaitan bagi memudahkan akses maklumat dan permohonan bantuan./Penerangan-
Razali bergambar kenangan bersama pengamal media di DUN Sabah.
Comments
Post a Comment