215 Pesara Sabah Sertai Majlis Khatam Al-Quran 3.0
Wartawan : Afisya Syazrin Ahmad Sunazneen
Foto : Nur Aliah Safiah
KOTA KINABALU: Seramai 215 pesara dari seluruh Sabah berjaya mengkhatamkan Al-Quran menerusi penganjuran Majlis Khatam Al-Quran 3.0 sebagai persediaan rohani menjelang bulan Ramadan.
Timbalan Mufti Sabah, Abdul Razak Hamdin berkata para peserta merupakan anak didik Al-Fadhil Al-Ustaz Muhammad Harras Baco yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh lebih setahun menerusi pengajian berjadual.
| Razak ketika ditemui media. |
"Para peserta terdiri daripada 19 kumpulan yang mengikuti kelas pengajian Al-Quran harian secara bersemuka atau dalam talian dengan penekanan terhadap pembetulan sebutan serta peningkatan kualiti bacaan.
“Di samping meraikan kejayaan peserta, majlis ini juga merupakan usaha berterusan untuk memohon keberkatan daripada Allah SWT melalui doa dan amalan yang terkandung dalam Al-Quran,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Khatam Al-Quran 3.0, pada Sabtu.
Menurut Abdul Razak, penganjuran majlis berkenaan yang diadakan setiap tahun juga berfungsi sebagai platform motivasi dan wadah berdoa bersama agar kualiti bacaan Al-Quran dalam kalangan peserta dapat dipertingkatkan.
| Para peserta Majlis Khatam Al-Quran 3.0 |
Mengulas persediaan Ramadan, beliau menasihatkan umat Islam mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran ketika berbuka puasa supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna selaras tuntutan agama.
Hadir sama, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Issraq Ramli serta Pengerusi Kelab Ar-Raudhatul Hasanah, Sufiah Abdul Rahman Lee./Penerangan-
| Para peserta Majlis Khatam Al-Quran 3.0 |
Comments
Post a Comment