Busking PENTARAMA Perkukuh Penyampaian Dasar Kerajaan Secara Bersemuka

Wartawan : Idris Sani Saberun

Foto : Merusin Minuddin


KOTA KINABALU : Program Jelajah Info Busking PENTARAMA X Info On Wheel (IOW) menjadi platform strategik kerajaan menyampaikan dasar dan inisiatif semasa secara santai dan dekat kepada rakyat.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata pendekatan hiburan bermaklumat yang diketengahkan menerusi PENTARAMA merupakan usaha Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) turun padang mendekati masyarakat, khususnya di kawasan tumpuan awam pada hujung minggu.


Jainisah (tengah) bergambar bersama artis-artis PENTARAMA JaPen Sabah.



"Pendekatan PENTARAMA yang menggabungkan elemen persembahan nyanyian, tarian dan drama pentas membolehkan maklumat serta dasar kerajaan disampaikan dalam suasana santai, sekali gus memudahkan masyarakat memahami, menerima dan menghayatinya," katanya pada program tersebut di Api-Api Night Market, Lintasan Deasoka, pada Sabtu malam.

Menurut Jainisah, pelaksanaan program secara bersemuka turut memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan dan pemimpin tempatan, selain mendapatkan penjelasan berkaitan isu semasa serta inisiatif yang dibawa kerajaan.

"Melalui kolaborasi strategik bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Tourism Malaysia, program ini bukan sahaja menjadi medium penyampaian maklumat, malah berfungsi sebagai platform mendapatkan maklum balas terus daripada masyarakat setempat secara harmoni dan terbuka," jelasnya.

Jainisah turut memaklumkan Jelajah Info Busking PENTARAMA X Info On Wheel merupakan program skala kecil yang dirancang di 10 lokasi terpilih di seluruh Sabah pada tahun ini, dengan Api-Api Night Market sebagai lokasi pertama, bertujuan mendekati masyarakat setempat serta menyemai semangat perpaduan, patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah DBKK, Faradillah Abdul Rani berkata program berkonsepkan interaksi secara langsung dilihat lebih berkesan kerana membolehkan maklumat disampaikan terus kepada masyarakat dalam suasana santai dan mesra.


Faradillah ketika ditemui media.


"Pendekatan bersemuka seperti ini memberi impak yang lebih besar kerana orang ramai lebih mudah menerima maklumat apabila kita berinteraksi secara langsung. Ia juga membantu menjadikan bandar lebih hidup dan bervariasi,” katanya.

Beliau berkata, DBKK turut memanfaatkan platform tersebut untuk menyampaikan mesej kesedaran awam termasuk kempen kebersihan bandar serta Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik, yang dilihat lebih berkesan apabila disampaikan secara langsung berbanding kaedah konvensional.

Di samping itu, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar menyifatkan kolaborasi strategik antara Tourism Malaysia, JAPEN dan DBKK sebagai platform efektif dalam mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.


Haryanty menyambut baik usaha JaPen Sabah dalam mempromosi 'Tahun Melawat Malaysia 2026'.


"Platform infotainment seperti ini bukan sahaja menyampaikan maklumat berkaitan pelancongan, malah menjadi saluran untuk menyalurkan informasi kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Sabah," jelasnya.

Beliau turut berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke daerah lain termasuk Sandakan dan Tawau, terutama kawasan tumpuan pelancong, bagi memastikan maklumat kerajaan dapat disampaikan kepada lebih ramai lapisan masyarakat.

“Program itu turut menerima maklum balas positif daripada pengunjung. Seorang pengunjung, Aslie Mohd Idzman, 46, dari Tuaran, berkata pendekatan penyampaian maklumat secara menghiburkan memudahkan orang ramai menerima mesej yang disampaikan.

‘Konsepnya menarik kerana menggabungkan elemen hiburan dan informasi, sekali gus membantu orang ramai, termasuk kanak-kanak dan keluarga, memahami maklumat dengan lebih santai,’ katanya.


Program yang berlangsung dari 8.30 hingga 10.30 malam Sabtu itu diisi dengan pelbagai pengisian antaranya segmen 'Dengar Dulu' bersama DBKK dan Tourism Malaysia Sabah, edaran risalah, sesi kuiz bersama pengunjung oleh TM Malaysia serta persembahan Info Busking PENTARAMA dengan penampilan khas Baginda Busker./ Penerangan-


MERIAH... Pengunjung turut sama menyanyi dan berinteraksi bersama-sama artis yang membuat persembahan.


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah