Grit Kuasa Sabah-Sarawak Stabilkan Sistem Bekalan Tenaga Serantau-Hajiji
Wartawan: Nurfatin Mohammed Yunus
Foto: Shahvian Mohd Razali
KOTA KINABALU: Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak dijangka memperkukuh sistem bekalan elektrik negeri dan menjadikannya lebih stabil, mampan serta meningkatkan keselamatan tenaga.
| Hajiji berucap di Majlis Perasmian The Energisation of the Sarawak–Sabah Power Grid Interconnection Project |
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata projek strategik itu secara berperingkat mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan bahan api fosil, memperkukuh margin rizab elektrik dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kebolehpercayaan bekalan kuasa.
“Usaha memperkukuh pembangunan tenaga elektrik di Sabah memerlukan kerjasama semua pihak secara bersepadu. Komitmen Kerajaan Negeri jelas iaitu memastikan bekalan elektrik negeri ini terus diperkasa.
"Sabah menghargai kesediaan Sarawak untuk menjadi rakan strategik tenaga bukan sahaja dalam kerjasama bekalan elektrik merentasi sempadan, malah sebagai rakan pembangunan Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian The Energisation of the Sarawak–Sabah Power Grid Interconnection Project pada Sabtu.
Majlis tersebut turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Hajiji menjelaskan, kerjasama itu selaras dengan usaha merealisasikan visi BIMP-EAGA melalui pembangunan infrastruktur tenaga merentasi sempadan menerusi Grid Kuasa ASEAN (APG).
“Sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA, Sabah memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo serta membuka potensi perdagangan tenaga serantau yang lebih bersepadu dan mampan.
"Interkoneksi Grid Sabah–Sarawak merupakan pencapaian penting, membuka laluan kepada hubungan masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan akhirnya Filipina Selatan," ujarnya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri menyedari keutamaan memenuhi permintaan elektrik di Sabah yang semakin meningkat disebabkan pertumbuhan populasi, pengembangan industri dan pembangunan luar bandar.
“Melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan, strategi menyeluruh secara berfasa dilaksanakan merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Pendekatan ini memastikan margin rizab penjanaan mencukupi serta meningkatkan daya tahan dan kebolehpercayaan sistem tenaga Sabah.
"Inisiatif termasuk penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar, angin serta teknologi penyimpanan tenaga termaju seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan hidro simpanan pam," jelasnya.
Hajiji (tujuh dari kiri) bergambar kenangan dengan tetamu kenamaan. |
| Hajiji (empat dari kiri) bergambar kenangan dengan tetamu kenamaan. |
Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, Sabah memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti karbon selaras komitmen perubahan iklim di peringkat negeri dan nasional./Penerangan-
Comments
Post a Comment