RM90 Juta Disalur Kepada Badan Keagamaan di Sabah

Wartawan : Abdu Azmie Mohd Ibrahim

Foto : Johnny Kimlon


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM90 juta kepada badan-badan keagamaan di Sabah sebagai usaha memelihara keharmonian masyarakat berbilang agama.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata peruntukan tambahan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyokong pembangunan institusi keagamaan tanpa mengira latar belakang agama.


Ewon ketika ditemui media.


"Pada tahun lalu sahaja, saya selaku Ahli Parlimen Penampang telah menyalurkan RM150,000 kepada sebuah gereja di Kampung Sugut bagi pembinaan ruang letak kereta.

“Hari ini saya turun padang untuk melihat sendiri pelaksanaan bantuan tersebut serta berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setempat yang memberikan maklum balas sangat positif,” katanya ketika ditemui media pada sambutan Thaipusam di Kuil Subramaniar, Kem Lok Kawi, pada Ahad.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata sambutan Thaipusam di Sabah menjadi simbol keunikan serta kekuatan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.


SUASANA...Suasana harmoni semasa perayaan Thaipusam Peringkat Negeri Sabah.


"Walaupun hidup berbilang bangsa namun kita tetap hidup dalam keadaan yang harmoni dan saya rasa hal ini mampu menarik pelancong dalam dan juga luar negara," ujarnya.

Terdahulu, sambutan Thaipusam dimulakan dengan upacara pengambilan Paal Kudam dan Kavadi, diikuti upacara sembahyang di persisiran pantai Attanggarai serta ritual Abhishegam sebelum upacara sembahyang.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin; Timbalan Pengerusi Kuil Subramaniar Lok Kawi, Dr Barathi Devi dan Ahli Jawatankuasa Sambutan Thaipusam Peringkat Negeri Sabah, Datuk Dr G. Mohan a/l Gopal Naidoo./Penerangan-

Ewon (dua dari kiri) menyempurnakan upacara pecah kelapa sempena perayaan Thaipusam Peringkat Negeri Sabah.


Comments

Popular posts from this blog

Kota Kinabalu Tuan Rumah SKAW Jun Ini

Kota Kinabalu Jadi Tuan Rumah ASEAN Women’s Conference 2025 Ogos Ini

FKAT Siri Ke-10 Dijangka Lebih Meriah