Kerajaan Negeri Perkukuh Sektor Tenaga Sebagai Agenda Pembangunan Strategik Sabah

Wartawan :

Jurufoto: Azman Jumat


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus mengutamakan usaha memperkukuh sektor tenaga sebagai salah satu agenda pembangunan strategik Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Kerajaan negeri telah menetapkan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE RAMP 2040) sebagai hala tuju strategik pembangunan sektor tenaga Sabah.

“Kita bukan sahaja perlu memastikan bekalan elektrik sentiasa mencukupi dan berdaya harap, malah perlu membangunkan sistem tenaga yang lebih cekap, lebih mampan dan mampu memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Pelan ini menjadi panduan kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu serta memastikan pembangunan tenaga terus menyokong aspirasi ekonomi negeri.

Tun Musa (tengah) ketika menyempurnakan gimik bagi Majlis Peluncuran Tenaga Lestari Rakyat Sabah.

“Usaha ini diambil bagi memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil dan berdaya harap serta mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya pada Majlis Peluncuran Tenaga Lestari Rakyat Sabah, di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti.

Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Dalam pada itu, Hajiji mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) atas komitmen berterusan dalam memacu pembangunan sektor tenaga negeri melalui pendekatan yang progresif, berpandangan jauh dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Pada hari ini kita menyaksikan satu lagi langkah penting dalam merealisasikan aspirasi tersebut melalui pelancaran Sabah Energy Efficiency Action Plan (SEEAP) dan Program Solar Rakyat Sabah.  

Joachim ketika menyampaikan ucapan perasmian.

“Pengiktirafan kepada projek-projek solar, pelaksanaan Government Lead by Example, kerjasama dengan institusi latihan, pembangunan usahawan melalui Memorandum Persefahaman bersama pihak Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat mencerminkan bahawa pembangunan tenaga lestari memerlukan penyertaan semua pihak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri mahu melihat tenaga digunakan secara lebih berhemah dan cekap dalam setiap sektor.  

“Kita mahu lebih ramai rakyat Sabah berpeluang mengambil bahagian dalam penggunaan tenaga boleh baharu. Kita juga mahu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi, pelaburan dan pembangunan industri tenaga yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.

“Peralihan tenaga bukan sekadar berkaitan teknologi. Ia adalah satu transformasi yang melibatkan dasar, pelaburan, pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat.  

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara ECoS yang disampaikan oleh Abdul Nasser (dua dari kanan) dan Institut Keusahawan Negara (INSKEN).

“Kerjasama seperti ini amat penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan benar-benar dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya.

Hajiji berkata dalam usaha mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri akan terus memastikan bahawa sektor tenaga berkembang secara terancang, mampan dan berdaya tahan.  

“Untuk itu, kita akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, ECoS, pemain industri, pelabur, institusi kewangan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan Sabah mempunyai sistem tenaga yang mampu menyokong pembangunan negeri untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap, Pengerusi ECoS, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili dan  Ketua Pegawai Eksekutif  ECos, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid./Penerangan-

 

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM