Masjid Negeri Lokasi Sambutan Hari Pahlawan 2026

 Wartawan: Deonalisa Jekee Edin

Jurufoto: Johnny Joklis


KOTA KINABALU : Buat julung kalinya Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Masjid Negeri. 


Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, pemilihan lokasi itu adalah selaras dengan amalan yang dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan. 

"Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Masjid Negeri pada 31 Julai ini bermula pada jam 5.00 petang. 

"Sambutan julung kali di lokasi itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta daripada pelbagai agensi dan orang awam.

Sabin ketika ditemui media.

"Walau bagaimanapun, semua anggota sama ada beragama Islam ataupun bukan Islam juga dijemput hadir kerana selain majlis tahlil, bacaan yasin dan sembahyang Maghrib dan Isyak, pengisian yang lain akan berlangsung di pekarangan masjid sahaja. 

"Selain itu, kita juga akan mengadakan penyampaian sumbangan kepada para pahlawan kita yang akan dikenal pasti oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan juga Angkatan Tentera Malaysia," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa. 

Sabin memaklumkan, tujuan kunjungan itu adalah bagi menjemput Tun Musa untuk hadir ke sambutan berkenaan. 

Tun Musa (lima dari kanan) bergambar bersama rombongan kunjungan.

Menurut beliau, sambutan itu diadakan bagi mengenang jasa dan pengorbanan para pahlawan mempertahankan negara pada zaman dahulu dan masa kini. 

Hadir sama, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin, Panglima 5 Briged Kem Lok Kawi, Abdul Razak Harun, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Abdul Manap Abdul Rubim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) , Karim Rahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), Faradillah Abdul Rani./Penerangan-



Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM