Pesara Kerajaan Digesa Sumbang Pengalaman, Pengetahuan Untuk Kemajuan Sabah - Abd Kassim

Wartawan : Norsiah Mahmud
Jurufoto    : Azman Jumat


KOTA KINABALU: Golongan pesara kerajaan digesa untuk terus menyumbang tenaga, pemikiran dan pengalaman luas yang dimiliki demi kemajuan negeri Sabah.


Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Abd Kassim Razali berkata sumbangan golongan berkenaan tidak seharusnya terhenti selepas bersara, sebaliknya tenaga dan kepakaran mereka masih diperlukan untuk kemajuan negeri.

"Kita mengharapkan kepada pesara ini terus menggunakan tenaga mereka untuk menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah.

Abd Kassim (duduk, tiga dari kanan) ketika menjalani pemeriksaan tekanan darah di reruai saringan kesihatan


"Kerana kita pasti mereka ini kaya dari segi pengalaman dan juga pengetahuan. 

"Kita boleh umpamakan mereka ini seperti Google. Kita boleh bertanya tentang pengalaman dan tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk membangunkan negeri kita di masa hadapan.

"Persaraan tidak bermakna pesara berhenti daripada berbakti kepada masyarakat dan negeri," katanya semasa berucap merasmikan Program Saringan Kesihatan 2026 di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sabah, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, golongan pesara turut menjadi sebahagian daripada pembangunan Sabah yang dinikmati masyarakat pada masa ini.

"Inilah pengorbanan yang tuan-tuan telah buat dan inilah yang kami nikmati, khususnya Bandaraya Kota Kinabalu dan negeri Sabah pada hari ini hasil daripada pemikiran dan juga peranan tuan-tuan 20, 30 tahun yang lalu.

"Mereka tidak berperang guna senjata, tapi telah menggunakan tenaga, menggunakan buah fikiran mereka untuk kemajuan negeri Sabah ini," jelasnya.


GIMIK...Abd Kassim (dua dari kanan) semasa menyempurnakan gimik perasmian.



Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pesara supaya memberi perhatian terhadap kesihatan dan menjalani pemeriksaan secara berkala kerana sesetengah penyakit boleh berlaku tanpa disedari.

Program sehari itu dianjurkan Jawatankuasa Perhubungan Daerah Kota Kinabalu (JKPDKK) dan Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Pejabat Pergigian Kawasan Kota Kinabalu, National Kidney Foundation (Sabah) dan Best Hearing Aid Centre (KK).

Hadir sama, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Sabah, Datuk Wilfred Lingham dan Pengerusi Penganjur Program Saringan Kesihatan Saringan Kesihatan 2026, Nanih Abah @ Nancy Wong./Penerangan-
 

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM