MAJAPS Anjur Larian Amal 2026
Wartawan : Mantisa James
Jurufoto : Mohd Sazwan Roslan

KENANGAN...Tun Musa (tujuh dari kanan) bergambar bersama rombongan MAJAPS.
KOTA KINABALU: Majlis Jaksa-Jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS) bakal menganjurkan larian amal, MAJAPS Charity Run pada 6 Disember 2026 di perkarangan ITCC Penampang.
Presiden MAJAPS, Datuk Seri Panglima Dr. Clarence B. Malakun berkata, acara larian sejauh tujuh kilometer itu akan bermula dan berakhir di perkarangan ITCC dengan menjemput Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman selaku penaung MAJAPS untuk merasmikan acara berkenaan.
"Kami datang hari ini, untuk menjemput Tuan Yang Terutama Tun sebagai tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelepasan larian tersebut.
"Ketibaan Tun dijangka kira-kira jam 4.30 petang dan Tun juga merupakan penaung kepada Majlis Jaksa Pendamai.
"Acara ini akan bermula dari pekarangan ITCC Penampang sejauh 7 kilometer mengelilingi kawasan SMK Datuk Peter Mojuntin dan bulatan Sigah sebelum kembali ke ITCC.
"Kami mensasarkan seramai 2,000 peserta terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah di daerah Penampang dan Putatan serta sekitar Kota Kinabalu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Dalam pada itu, Clarence menyatakan bahawa penganjuran acara tersebut bukanlah berbentuk pertandingan sebaliknya berkonsepkan larian amal.
"Ini adalah charity run, bukan perlumbaan. Tujuan utama kami adalah untuk mencari dana untuk perbelanjaan majlis setiap tahun.
"Kami mengalu-alukan penyertaan orang ramai bagi menjayakan acara amal ini.
"Orang ramai yang berminat untuk menyertai larian amal tersebut boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui urusetia penganjur di ITCC Penampang," ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Presiden MAJAPS, Tan Sri Dr. Andrew Liew Sui Fatt, Naib Presiden MAJAPS, Datuk Kevin Lim Thein Phin dan Datuk James Ligunjang, Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Izharudin Jalaludin dan Penasihat Kehormat, Datuk Sr. Anthony C.Linggian./Penerangan-
Comments
Post a Comment