Sabah Perkasa Bahasa Kebangsaan Hadapi Cabaran AI

Wartawan    : Deonalissa Jekee Edin
Jurufoto        : 
Shahvian Mohd Razali


KENANGAN...Hajiji (depan, tengah) bergambar kenangan bersama tetamu dan para hadirin.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian serius terhadap usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dalam mendepani cabaran era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha itu termasuk memperluas penggunaannya di tempat awam serta memperkukuh pematuhan dalam urusan rasmi.

"Ini turut merangkumi pemerkasaan pantun dan tulisan Jawi, penyelidikan pelbagai bahasa serta sastera etnik dan pengembangan industri buku yang menampilkan penulis dari Sabah. 

"Saya juga mahu melihat anak-anak muda Sabah, para pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif tempatan memanfaatkan teknologi bagi menyuburkan penggunaan bahasa kebangsaan.

"Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sahaja memfokuskan pertumbuhan ekonomi, infrastruktur dan sektor strategik, malah turut menitikberatkan pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat yang berjiwa merdeka, beridentiti dan mempunyai jati diri kukuh. 

"Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha memartabatkan bahasa serta sastera kebangsaan menerusi pelbagai kegiatan, penyelidikan dan penerbitan," katanya ketika berucap merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2026 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri berharap kerjasama dengan DBP, agensi berkaitan dan persatuan penulis dapat diperkukuh bagi menjadikan Sabah negeri suri teladan dalam pemupukan budaya ilmu dan pengembangan kesusasteraan dan penggunaan bahasa kebangsaan yang cemerlang. 

Beliau turut menyambut baik penganjuran Karnival Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita yang merangkumi wacana pemerkasaan bahasa dalam media, bicara tulisan Jawi dan pemantapan seni berpantun. 

"Generasi muda perlu menguasai pelbagai bahasa bagi meningkatkan daya saing tanpa mengetepikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, khususnya ketika berkomunikasi di platform media sosial.

"Kepada generasi muda, dalam rancaknya penggunaan dan komunikasi dalam pentas dan platform pelbagai media sosial, jiwa dan semangat mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan santun haruslah menebal.

"Dalam ruang kebebasan bersuara dalam pelbagai medium, batasnya ialah kesantunan berbahasa dan bahasa yang baik," ujarnya.

Beliau menyeru seluruh rakyat memperteguh tekad menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. 

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, wakil Ketua Pengarah DBP Malaysia, Mohd Salahuddin Mohamed, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Abidin Marjan, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, wakil Pesuruhjaya Polis, Datuk Ahsmon Bajah dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Jennitah Noordin.

Terdahulu, turut diadakan Wacana Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan Dalam Media yang menampilkan tiga panel iaitu Sasterawan Negeri Sabah, Datuk Jamdin Buyong, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Datuk Dr. Lee Kuok Tiung dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Dr. Diana Dominic./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM