11 Sekolah Terima Anugerah SLAAS Sempena HASN 2026
Wartawan: Abdu Azmi Mohd Ibrahim
Jurufoto: Johnny Joklis
KOTA KINABALU: Sebanyak 11 sekolah menerima anugerah Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Sabah 2026 pada Khamis.
Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Holy Trinity, Tawau muncul johan manakala bagi kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Tong, Sandakan.
Kedua-dua sekolah berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta sijil pencapaian.
SMK Holy Trinity, Tawau turut meraih Anugerah SLAAS 2025/2026 Peringkat Kebangsaan bagi kategori sekolah menengah yang berlangsung di Melaka pada 21 September 2026.
Sementara itu, Naib Johan kategori sekolah menengah dimenangi oleh SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu manakala bagi kategori sekolah rendah dimenangi oleh SJKC Cheng Ming, Keningau dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil pencapaian.
Jafry (tiga dari kiri) menyampaikan cek cura bernilai RM1,500 berserta sijil kepada wakil SK Lok Yuk, Inanam.
Tempat ketiga bagi kategori sekolah menengah disandang oleh SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang manakala kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Yuk, Inanam, masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta sijil pencapaian.
Lima sekolah rendah turut menerima saguhati berupa wang tunai berjumlah RM1,000 berserta sijil iaitu SJKC Chi Hwa, Sandakan, SK Buang Sayang, Papar, SK Kampung Simunul, Semporna, SK Kauluan, Tuaran dan SJKC Chi Vun Entabuan, Tenom.
Penyampaian Anugerah SLAAS disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.
Jafry (tiga dari kiri) menyampaikan cek cura bernilai RM3,000 berserta sijil kepada wakil SMK Holy Trinity, Tawau.
Program SLAAS yang mula diperkenalkan sejak tahun 2005 adalah program kerjasama di antara Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program berkenaan turut diserikan dengan persembahan alam sekitar daripada kumpulan Selangkah Tari daripada SK Sembulan, Kota Kinabalu.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai, Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Daisy Aloysius, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali, Government Affairs Manager ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, Faisal Rashid dan Head of Sabah Petroleum Development PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP), Low Kok Wee./Penerangan-


Comments
Post a Comment