Belanjawan Sabah 2027 Dibentang 4 Disember

Wartawan : Norsiah Mahmud
Jurufoto    : 
Vicky Sylvester Matanjang


KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2027 akan dibentangkan pada 4 Disember ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Belanjawan itu bakal membawa manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri.

"Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara sebelum belanjawan itu dibentangkan.

"Tetapi saya ingin menegaskan bahawa ia merupakan belanjawan yang baik untuk rakyat dan pembangunan negeri.

"Belanjawan ini akan menyediakan penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi di Sabah, termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya," katanya ketika ditemui pada sambutan Deepavali di sini, pada Ahad.

Hajiji (dua dari kanan) menyampaikan cek cura kepada wakil Persatuan Orang Buta Sabah.


Mengulas sambutan Deepavali, Hajiji berharap perayaan itu dapat membawa cahaya baik dan keberkatan bukan sahaja kepada masyarakat India, tetapi juga kepada semua kaum di Sabah.

"Inilah semangat Malaysia sebenar yang kita mahu lihat, sebuah masyarakat berbilang kaum yang meraikan perayaan bersama-sama.

"Marilah kita terus mempertahankan semangat perpaduan ini demi kebaikan bersama," ujarnya.

Terdahulu, Hajiji bersama isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag turut menyempurnakan upacara memotong kek sempena sambutan Deepavali.

Hajiji (enam dari kanan) dan Juliah (lima dari kanan) menyempurnakan upacara memotong kek sambutan Deepavali, diiringi V. Jothi (tujuh dari kiri) serta tetamu kehormat lain.


Selain itu, Hajiji menyampaikan sumbangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kepada Persatuan Orang Buta Sabah dan Jireh Home di Tuaran.

Sambutan anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Perniagaan India Sabah (DPIS) itu dihadiri lebih 1,500 orang.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki, Menteri-Menteri Kabinet Negeri, Presiden Dewan Perniagaan India Sabah (DPIS), Datuk V. Jothi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM