Jelajah Aku Kasih Malaysia Platform Dengar Suara Akar Umbi

Wartawan : Abdu Azmie Mohd Ibrahim
Jurufoto    : 
Mohd Sazwan Roslan


KOTA MARUDU: Program Jelajah Aku Kasih Malaysia @ Sabah menjadi platform kerajaan mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, pengisian program antaranya sesi dialog bersama pimpinan akar umbi dan masyarakat setempat bagi membincangkan isu-isu yang berlaku khususnya di daerah Kota Marudu.

SUASANA... Suasana semasa Sesi Town Hall berlangsung bagi membincangkan isu-isu yang berlaku khususnya di daerah Kota Marudu.


"Antara isu yang masyarakat suarakan adalah masalah banjir yang kritikal. Memang ada cadangan untuk membuat projek tebatan banjir dan projek ini telah pun dihantar kepada Kementerian Ekonomi dan kementerian yang berkaitan.

"Jadi, saya fikir dengan adanya program seumpama ini, kita dapat mendengar sendiri luahan mangsa banjir dan kita akan cuba usahakan supaya permasalahan ini dapat diatasi dengan segera dan projek tebatan banjir ini diberikan keutamaan.

"Kita turut bawa perkhidmatan semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memberikan maklumat-maklumat penting kepada rakyat tentang inisiatif dan insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jelajah Aku Kasih Malaysia @ Sabah, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang dalam rangka untuk mengangkat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai naratif nasional dan beliau tidak mahu program-program berkaitan MA63 hanya untuk rakyat Sabah dan Sarawak semata-mata.

Menurutnya, satu program akan diadakan di Semenanjung Malaysia dan diberikan nama sebagai Karnival MADANI Kenali Borneo.

"Jadi kita mahu supaya rakyat Semenanjung memahami apa sebenarnya MA63 dan kenapa kita memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak yang sebenarnya adalah menjadi asas penting dalam pembentukan negara ini.

"Antara pengisiannya ialah kita mahu kenalkan budaya Sabah, kisah masyarakat yang berada di Sabah Sarawak dan bagaimana kehidupan kita di sini walaupun pelbagai kaum dan agama, tapi kita saling menghormati dan hidup secara harmoni dalam masyarakat.

Mustapha (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama semua yang hadir.


"Kita mahu angkat tema sebuah perpaduan dalam kepelbagaian, dan karnival ini kita akan mulakan di negeri Melaka," ujarnya.

Beliau berharap, segala pengisian dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program memberikan manfaat dan meninggalkan kesan positif kepada seluruh masyarakat yang hadir.

Program tersebut dimeriahkan dengan 21 reruai pameran daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang menawarkan perkhidmatan masing-masing terus kepada rakyat dan dihadiri kira-kira 600 orang peserta daripada kalangan penjawat awam, komuniti dan belia sekitar daerah Kota Marudu.

Terdahulu, pelbagai pengisian program telah berlangsung antaranya sukan rakyat, pertandingan mewarna, cabutan tiket bertuah, interaktif kenegaraan, pocket talk daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), serta Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ).

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda, Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara, Ahli Lembaga Pengarah Sabah Land Development Board (SLDB), Zaidi Jatil./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM