Kerajaan Negeri Tekankan Pembangunan Modal Insan
Wartawan: Nazri Ramsyah
Jurufoto: Vicky Matanjang
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, bidang kemahiran menjadi pemacu utama pembangunan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi, selain melahirkan usahawan tempatan.
"Program kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berupaya melahirkan usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan wanita serta masyarakat luar bandar dalam bidang kemahiran seperti jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan.
"Kemahiran yang dimiliki pada hari ini bukan sekadar sekeping sijil, tetapi merupakan aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
"Kita juga mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga memiliki kekuatan rohani, akhlak yang mulia serta nilai-nilai murni dalam kehidupan.
"Keseimbangan ini penting bagi membina keluarga yang sejahtera, komuniti yang harmoni dan masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri," katanya.
Juliah (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima sijil yang menggunakan kerusi roda.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mini Konvokesyen Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Insan KEMAS Daerah Tuaran di sini, pada Rabu.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berharap agar peserta memanfaatkan ilmu dan kemahiran diperoleh untuk menceburi bidang keusahawanan dan tidak takut memulakan perniagaan.
"Manfaatkan platform digital bagi meluaskan pasaran, di samping terus berinovasi dan kreatif dalam menghasilkan produk serta menawarkan perkhidmatan yang berkualiti," tambahnya.
Beliau turut menegaskan, konvokesyen itu bukan titik akhir dalam perjalanan menimba ilmu, sebaliknya permulaan kepada peluang lebih luas untuk terus maju dan berjaya.
Dalam konvokesyen tersebut, seramai 149 orang berjaya menamatkan pembelajaran dari pelbagai kelas kemahiran, antaranya Pendidikan Kesejahteraan Keluarga, Kelas Pendidikan Kemahiran Dandanan Diri dan Kelas Kemahiran Jahitan.
Hadir sama, Pengarah KEMAS, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi./Penerangan-



Comments
Post a Comment