Kerajaan Salur RM500 Ribu, Empat Projek KAM Kg. Korongkom Siap Dinaik Taraf
Wartawan : Abdu Azmie Mohd Ibrahim
Jurufoto : Mohd Sazwan Roslan
KOTA MARUDU: Kerajaan telah menyalurkan RM500 ribu membolehkan empat projek Kampung Angkat MADANI (KAM) di Kampung Korongkom siap dinaik taraf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, Kampung Korongkom merupakan antara 18 KAM seluruh Sabah yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dengan nilai peruntukan RM9 juta pada tahun 2026.
"Pada tahun 2025, sebanyak 11 KAM telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan melibatkan nilai peruntukan sebanyak RM10.15 juta.
"Manakala sebanyak 18 KAM diperuntukkan sebanyak RM9 juta pada tahun 2026 termasuklah KAM Kampung Korongkom.
"Alhamdulillah, program hari ini kita diperlihatkan sebuah dewan baharu, sebuah padang bola sepak untuk belia-belia, lampu-lampu jalan yang terang dan jalan batu kerikil ditambah baik ke jalan konkrit.
"Walaupun peruntukan RM500 ribu, tapi pengurusan KAM ini mampu menyiapkan empat projek yang bukannya mudah dan paling penting dana tersebut kita optimumkan penggunaannya supaya banyak infrastruktur asas yang boleh diselesaikan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap KAM Kampung Korongkom, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan data daripada Kementerian Kewangan, Sabah merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah permohonan KAM paling rendah dan negeri ini memerlukan peruntukan lebih besar berbanding dengan negeri-negeri lain untuk pembangunan KAM.
Menurutnya, pemilihan KAM mesti dibuat berdasarkan kampung yang terpinggir daripada arus pembangunan.
"Kota Marudu antara kawasan yang agak kurang dari segi pembangunan kampung, jadi ini antara daerah yang perlu diutamakan
untuk pemilihan KAM pada tahun-tahun hadapan.
"Apabila sebuah kampung itu dipilih sebagai kampung angkat, prasarana terutama dewan, padang bola, jalan ataupun lampu akan diperbaiki sekali gus memberi manfaat yang cukup besar kepada kampung yang selama ini tidak mendapat dana untuk memperbaiki infrastruktur asas," ujarnya.
Beliau berharap agar prasarana yang telah siap dinaik taraf menjadi pemangkin kepada golongan belia untuk kekal aktif dan berdaya saing serta dapat mengharumkan nama komuniti di peringkat yang lebih tinggi.
Mustapha turut menyeru semua masyarakat agar terus memupuk semangat muafakat bersama kerajaan kerana program turut bergantung pada kerjasama erat antara kepimpinan akar umbi, agensi kerajaan dan setiap ahli komuniti.
"Marilah kita berganding bahu sebagai keluarga besar untuk merealisasikan visi Malaysia MADANI di bumi Kampung Korongkom ini," tambahnya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara dan Ahli Lembaga Pengarah Sabah Land Development Board (SLDB), Zaidi Jatil./Penerangan-


Comments
Post a Comment