KPLB Fokus Bekalan Air Alternatif Dalam Belanjawan Sabah 2027

Wartawan : Nazri Ramshah Abdul Basah
Jurufoto    : 
Merusin Maruddin


TUARAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek bekalan air alternatif dalam Belanjawan Sabah 2027.


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang berkata, pihaknya telah merangka pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemudahan prasarana utiliti di kawasan luar bandar yang masih belum mempunyai sumber air bersih.


Rubin ketika ditemui media.



"Bagi tahun 2027, KPLB menggariskan beberapa perancangan projek pembangunan, khususnya dalam menyediakan kemudahan prasarana utiliti kecil serta projek bekalan air alternatif di kawasan-kawasan terjejas di seluruh negeri.

"Terdapat dua sumber utama bekalan air di negeri ini bagi menampung keperluan rakyat, iaitu sistem konvensional yang diselaraskan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pendekatan bekalan air alternatif.

"Inisiatif bekalan air alternatif akan menggunakan sistem graviti, telaga gerudi bawah tanah selain menggunakan kaedah air payau yang menggabungkan air sungai dan air laut," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Pusat Pentadbiran Pembangunan Kampung Malangang Baru, Kiulu, di sini pada Isnin.

Rubin berkata, selain memberi tumpuan kepada kemudahan bekalan air, KPLB turut merancang pembinaan jalan perhubungan di kawasan kampung dengan kos yang lebih berhemah.


Rubin (tengah) bersama Joniston (kanan) dan Wilfred (kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian.



Jelasnya, pihaknya telah mengemukakan cadangan belanjawan bagi KPLB untuk pertimbangan dan kelulusan, tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa negeri.

Beliau turut komited untuk memastikan peruntukan yang disalurkan kelak digunakan untuk melaksanakan projek bekalan air alternatif dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM