Masyarakat Digesa Ubah Stigma Terhadap OKU

Wartawan    : Noorsiah Mahmud
Jurufoto        : 
Mohd Sazwan Roslan

Abdul Kassim (berdiri, tengah) bergambar kenangan bersama pelatih dan hadirin.



TUARAN: Masyarakat digesa mengubah stigma terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk berjaya dalam pelbagai bidang dan kemahiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, golongan itu mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu diberikan perhatian dan sokongan bagi mereka mengembangkan potensi diri.

"Kita harapkan masyarakat di luar sana supaya menghargai anak-anak istimewa ini.

"Kita juga harapkan ibu bapa agar memberi pendedahan seluas-luasnya kepada anak-anak istimewa ini.

"Mereka tidak harus malu atau pun segan dengan anak-anak istimewa kerana mereka sebenarnya mempunyai kelebihan masing-masing.

"Jikalau diberikan kemahiran dan pendidikan, kita dapat melihat ada contoh insan-insan istimewa begini yang mencapai kejayaan sama ada menjadi usahawan, penyanyi, pelakon, idola dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Borak & Santai Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Tuaran 2026 di Dewan Mini PPDK, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya menghargai dan menyokong golongan OKU, termasuk usaha pusat pemulihan dalam komuniti.

Abdul Kassim (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Evelyn (kanan).


"Harapan saya agar agensi berkaitan terus melaksanakan usaha murni sebegini, manakala masyarakat di luar sana terus memberikan sokongan kepada pusat-pusat pemulihan dalam komuniti seperti ini.

"Kita membantu anak-anak ini dari segi semangat, dorongan, agar mereka dapat memajukan diri mereka di masa hadapan.

"Kita juga mengharapkan bantuan terus diberikan kepada anak-anak ini dan Insya-Allah saya rasa kerajaan terus memberikan perhatian kepada mereka," ujarnya.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa agar terus berhubung dengan pihak PPDK dan pegawai kebajikan bagi memastikan anak-anak yang belum menerima bantuan atau perkhidmatan berkaitan dapat dikenal pasti dan dibantu.

Program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia Negeri Sabah itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am bagi mendekati komuniti OKU menerusi pendekatan strategik serta penyampaian maklumat secara bersemuka.

Bertemakan "Bukan Kurang, Tapi Luar Biasa" program berkenaan turut diisi dengan persembahan interaktif PENTARAMA yang turut menyampaikan maklumat berkaitan Belanjawan 2027 bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai inisiatif dan manfaat disediakan kerajaan terutama melibatkan golongan OKU.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah (Bahagian OKU & Warga Emas), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah, Evelyn Cliff Emang dan Pengerusi PPDK Tuaran, Roslani Abdullah./Penerangan-

Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM