Wartawan : Munica kiat/Mohd Asraf Aslan
Jurufoto : Robitikson Majingka
RANAU: Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) membuktikan industri kopi tanah tinggi Sabah berpotensi besar untuk berkembang di peringkat nasional dan antarabangsa.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kejayaan menerusi pengiktirafan Highest Altitude Coffee Plantation 2026 itu membuka peluang kepada komuniti setempat untuk mengembangkan industri kopi sebagai komoditi bernilai tinggi.
Masidi (tiga dari kiri) menyerahkan Insentif Agro Pelancongan kepada wakil Koperasi Agro Kopi Ranau Berhad.
"Kita mahu mengubah persepsi lama daripada 'saya hanya petani kampung' kepada satu keyakinan baharu iaitu 'saya adalah pemilik rantaian bekalan untuk jenama kopi specialty masa hadapan'.
"Anda semua bukan lagi sekadar mengusahakan tanah, tetapi anda sedang membina sebuah empayar komoditi bernilai tinggi.
"Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Pertanian, biji kopi gred tinggi (specialty coffee) yang dihasilkan dari tanah Ranau kita ini mampu dijual pada harga pasaran RM50 sehingga RM65 bagi setiap pek kecil seberat 250 gram.
"Ini bermakna nilai borong kopi specialty sedia panggang tanah tinggi kita boleh mencecah sehingga RM260 untuk setiap satu kilogram.
"Kita tidak mahu kejayaan ini berhenti setakat rekod sahaja. Hasrat saya adalah melihat komuniti Ranau di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Sabah mampu melonjakkan kapasiti pengeluaran biji kopi specialty ini bagi menampung permintaan pasaran borong berskala besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Malaysia Book of Records Highest Altitude Coffee Plantation 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama, di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut berharap industri kopi Kampung Toboh Lama dapat diintegrasikan dalam sektor pelancongan daerah menerusi pewujudan produk pelancongan tani baharu, Coffee Trail Ranau, bagi menarik kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa.
SUASANA... Suasana ketika Masidi mencuba kopi yang disediakan menerusi demonstrasi penyediaan kopi pada majlis tersebut.
"Harapan besar saya adalah untuk melihat industri kopi di Kampung Toboh Lama ini diintegrasikan sepenuhnya ke dalam ekosistem pelancongan daerah melalui pewujudan produk pelancongan tani baharu, iaitu 'Coffee Trail Ranau'.
"Jadikan Coffee Trail Ranau ini sebagai satu pakej penjelajahan unik yang wajib dikunjungi dan dirasai sendiri oleh pelancong domestik mahupun antarabangsa," tambahnya.
Jelasnya, dengan adanya pengiktirafan bersejarah daripada MBOR, daerah Ranau selepas ini bukan sahaja dikenali kerana kemegahan Gunung Kinabalu, statusnya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO atau kedinginan Kundasang, malah kini turut terkenal di seluruh negara sebagai pusat Kawasan Tanaman Kopi Tertinggi di Malaysia.
Turut disempurnakan pada majlis tersebut ialah perasmian Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama bagi menyediakan kemudahan untuk kegunaan aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan dan kesukanan penduduk setempat.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ts. Jifrin Mohamad, Pengarah Pertanian Sabah, Jackson Ronald Jaimi, Pegawai Daerah, Herry Awit, Pengarah Ukur Bahagian Pemetaan Topografi Sabah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Surveyor (Sr.) Shaffri Baudi serta panel Malaysia Book of Records, Siti Hajar Johor./Penerangan-
Comments
Post a Comment