Nelayan Rakan Strategik APMM Pelihara Keselamatan Perairan Negara
Wartawan : Florinah Lunsin
Jurufoto : Manjin Arak

Hasbullah (tiga dari kiri) ketika pelancaran poster panduan keselamatan sebelum ke laut.
KUDAT: Komuniti nelayan antara rakan strategik penting kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam memastikan keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata, pengetahuan serta maklumat yang dimiliki komuniti nelayan amat bernilai bagi membantu pihak berkuasa mengesan sebarang kejadian atau aktiviti mencurigakan di laut.
"Kudat mempunyai kedudukan strategik dari sudut maritim dengan aktiviti perikanan, pengangkutan laut dan perdagangan yang bergantung penuh pada perairan kawasan ini.
"Oleh itu, saya menyeru agar masyarakat tidak teragak-agak menyalurkan maklumat kepada APMM sekiranya mengetahui atau mengesan sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan perairan negara.
"Menjaga keselamatan perairan bukan tanggungjawab APMM semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama jabatan kerajaan, agensi penguatkuasaan, sektor korporat, persatuan nelayan dan masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan Program Sahabat Maritim Zon Kudat 2026 di Esplanade Sidek, di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar.
Beliau turut mengingatkan agar pengguna laut sentiasa memastikan bot berada dalam keadaan baik, memakai jaket keselamatan, peka terhadap keadaan cuaca semasa serta melengkapkan peralatan keselamatan bagi mengelakkan berdepan risiko kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada rakan strategik utama program iaitu Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) serta rakan kerjasama lain seperti Hibiscus Petroleum, agensi kerajaan dan Persatuan Nelayan atas sokongan dalam menjayakan program tersebut, sekali gus memperkukuh hubungan strategik pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengurus Kanan, Pengeluaran PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Mohd Fariq Mohd Yasin berkata, nelayan dan pemain industri minyak dan gas disifatkan sebagai dua pihak yang sama penting dalam memacu serta melengkapi ekonomi negara.
"Nelayan mencari dan menangkap ikan di laut, kami pula mencari dan menangkap minyak dan gas. Kita sama-sama penting untuk ekonomi negara.
"PETRONAS mengeluarkan minyak mentah yang diproses menjadi petrol dan diesel, manakala gas didaratkan dari pelantar untuk menjana elektrik yang digunakan rakyat dan saya berharap hubungan ini terus terjalin dan kita sama-sama menjana ekonomi yang baik untuk negara," katanya.
Dalam program tersebut, PETRONAS turut menyampaikan sumbangan peralatan perikanan dan barangan makanan kepada kira-kira 200 nelayan kawasan sekitar Kudat.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kudat, Salahuddin Awang Kassim, Penolong Superintenden Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, Roning Mulut, serta wakil PETRONAS, PETRONAS Floating LNG dan Hibiscus Petroleum./Penerangan-

Comments
Post a Comment