Pendapatan Bawah RM 50,000 Layak Bantuan Guaman

Wartawan:

Jurufoto: Jeffren Malaning


KOTA KINABALU: Rakyat Sabah yang berpendapatan tahunan di bawah RM50,000 layak mendapatkan bantuan guaman percuma melalui Jabatan Bantuan Guaman (JBG) bagi menyelesaikan pelbagai masalah perundangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, masih ramai rakyat, terutama di kawasan pedalaman dan kampung tidak mengetahui kewujudan perkhidmatan tersebut sehingga menyebabkan mereka terus menanggung kerugian tanpa mendapatkan bantuan.


"Di Sabah sahaja, sebanyak 315 kes sivil dan 161 kes syariah telah dikendalikan oleh JBG bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan undang-undang.

Mustapha semasa menyampaikan ucapan perasmian.

"Warganegara yang berpendapatan di bawah RM50,000 boleh minta bantuan dan memang ada disediakan panel yang layak yang boleh mengendalikan kes berkenaan.

"Saya minta kepada semua pemimpin masyarakat yang ada di sini untuk kita sama-sama mewar-warkan kepada kampung kita untuk memastikan akses kepada keadilan dan perlindungan dapat dinikmati.

"Antara kes yang boleh dibantu oleh JBG termasuk nafkah, cerai, harta pusaka kecil, kemalangan jalan raya, sewa beli, penyewaan dan tuntutan pengguna serta kategori pendamping dan jenayah melibatkan kanak-kanak khususnya.

Mustapha (kanan) semasa menerima cenderahati daripada Mohd. Radhi.

"Selain itu, saya melihat aspek celik undang-undang sebagai suatu keperluan penting yang wajar diberikan perhatian secara berterusan, khususnya dalam usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

"Celik undang-undang bermaksud seseorang mempunyai pengetahuan asas tentang hak yang dilindungi oleh undang-undang, tanggungjawab yang perlu dipatuhi, serta saluran yang boleh dirujuk apabila berhadapan dengan permasalahan," katanya ketika merasmikan program Wacana JBG #YangJauhDidekati,YangSulitDisantuni, Peringkat Negeri Sabah, di Wisma Wanita Sabah, di sini, pada Khamis.

Menurut Mustapha, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan RM42.3 juta kepada JBG untuk tahun 2026, RM1.29 juta untuk merealisasikan Pusat Mediasi MADANI (PMM).

KENANGAN.....Mustapha (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama hadirin.

Kerajaan turut menyumbangkan dua buah kenderaan ‘Justice on Wheels’ yang berjaya melaksanakan 84 program bagi mendekati rakyat di kawasan pedalaman Sabah.

Dalam pada itu, Mustapha berharap rakyat Sabah bukan sahaja maju dari sudut pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi turut memiliki pengetahuan perundangan yang membolehkan mereka membuat keputusan secara bermaklumat dan menjalani kehidupan yang lebih yakin.

Seramai 150 peserta mengikuti Wacana Bantuan Guaman, Pembelaan Awam dan Pusat Mediasi MADANI yang diadakan sempena program berkenaan.

Hadir sama, isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datin Rosnih Nasir, Ketua Pengarah JBG Malaysia, Mohd. Radhi Abas, Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin, Timbalan Ketua Pengarah (Syariah) Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Nassir Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Sabah, Stephanie Sherron Abbie./Penerangan-



Comments

Popular posts from this blog

Sepeda Amal Borneo 2025 Bermula 27 Julai Hingga 1 Ogos

Pelajar Sabah di Timur Tengah Disaran Jadi Duta Pendidikan

Pengorbanan Darwis Berbaloi, Anak Raih Kejayaan Cemerlang Dalam STPM