Wanita Tunjang Kekuatan, Kejayaan Organisasi
Wartawan : Nurfatin Mohammed Yunus
Jurufoto : Johnny Joklis
KOTA KINABALU: Wanita merupakan tunjang kekuatan sesebuah persatuan menerusi peranan mereka sebagai penggerak utama, penyatu hati dan pencetus idea dalam memastikan kelangsungan serta kejayaan organisasi.
Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah, Datin Siti Yuslaini Mohd Samsuri berkata, sumbangan wanita dalam persatuan bukan sekadar melaksanakan tugas sebagai ahli, malah merangkumi aspek kepimpinan, kebajikan, pengurusan dan usaha memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahli.
"Wanita bukan sekadar ahli pelengkap, tetapi nadi dan tulang belakang kepada kelangsungan sesebuah persatuan.
"Justeru, wanita merupakan penggerak utama, penyatu hati, pencetus idea, pembina jaringan dan sumber inspirasi kepada persatuan.
"Kekuatan wanita dalam persatuan terserlah menerusi tiga aspek utama iaitu ketelitian dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab, kebolehan menyatukan ahli serta semangat tidak mengenal penat dalam menyumbang kepada organisasi.
"Wanita juga perlu terus berani melangkah, menyumbang idea dan memainkan peranan aktif dalam kepimpinan tanpa memandang kecil setiap sumbangan yang diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ke-43 Tahun PUSPANITA Cawangan Sabah di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menyeru golongan lelaki agar sentiasa menghargai, menyokong dan memberikan ruang kepada wanita untuk terus menyerlah dalam pelbagai bidang.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian 16 kategori anugerah merangkumi empat teras utama iaitu Sumbangan, Penglibatan, Sahsiah dan Perwatakan serta Prestij.
Antara Anugerah yang disampaikan ialah Ikon Rakan Strategik, Ikon Cawangan Inspirasi, Ikon Khidmat Setia, Ikon Dedikasi, Ikon Bintang Aktif, Ikon Legenda dan Ikon Srikandi Gemilang sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta komitmen ahli dan rakan strategik PUSPANITA.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan oleh Rey Guntabid, Eylia Guntabid, Daniesh Suffian dan Ranisha Faizul.
Selain itu, cek cura berjumlah RM40 ribu turut disampaikan kepada Jawatankuasa Kecil Kebajikan PUSPANITA Cawangan Sabah bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan persatuan.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Junaida Abidin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlija Danin, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kebajikan PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Profesor Dr. Khadizah Osman serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kebajikan PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Dayang Maimunah Kopa./Penerangan-


Comments
Post a Comment